26 Mac 2009

aku katak, kamu apa?

Aku katak kamu apa?
( dari mereka yang bergelar katak)

Marilah bersama-sama muhasabah diri.

Mari berbicara mengenai katak sekejap

Maaflah, sengaja hamba nak bercakap(menulis) mengenai katak (di malaysia khususnya).
Apa yang kita faham mengenai katak...ambil masa 1 minit, buka internet...taip katak...baca dan hayati...tak perlu kita ambil banyak masa untuk katak.

Bukan hamba tahu sangat mengenai politik, malahan sangatlah hamba tidak faham, apatah lagi ia antara yang hamba kategorikan sebagai circle of concern, sangat jauh (bukan mustahil) dari apa yang mampu hamba ubah...kalian bagaimana? Tepuk dada tanya katak...

Sudah menjadi lumrah untuk katak...dikurniakan pencipta dengan kaki belakang yang panjang ( otak geliga-mungkin) yang kuat(banyak pengaruh), dan katak mempunyai bau agak busuk (emmm...kalian fikir sendiri). Tapi perlu kita maklum, bahawa bisa haiwan bertulang belakang paling bahaya (no. 1 ) didunia adalah dari spesies katak juga,..iaitu katak emas beracun ..Phyllobates terribilis , emmm...dari nama pun udah kita maklum ...how terrible this golden frog....

Dan cantik seandainya kita mengambil iktibar dari katak, sebagaimana Allah menunjukkan pada kita tentang pengajaran dari nyamuk sekalipun...

Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.”-Al-Baqarah ayat 26.

Melihat kepada masyarakat kita khususnya, begitu mengambil berat perihal politik, ekonomi, kebajikan, sukan etc, sesuatu yang wajar diberi penghargaan, dan kebelakangan ini tsunami politik yang melanda negeri dan negara lebih panas hatta lebih panas dari hotdog sekalipun.

Andai hamba alihkan katak kepada nyamuk dan dari skop politik kepada soal lain, contohnya peranan kita terhadap masyarakat kita, penduduk taman atau sesiapa sahaja yang boleh dikategorikan sebagai circle of influence, tentu ia lebih memberi erti.

Nyamuk cukup untuk menjadi tazkirah hebat untuk kita, letakkan disebelah dulu mengenai peranan nyamuk dalam ekonomi (ubat nyamuk : solid, liquid, etc). Kita lihat mudarat(maslahat) nyamuk.

Dalam perjalanan pulang semalam pun, ada satu kawasan dilihat di “fogging”, mungkin ada laporan kes denggi. Itulah keupayaan sepanjang masa nyamuk.
Nyamuk sebagai vektor dalam banyak jenis penyakit mempunyai keupayaan tinggi(semangat). Mana tidaknya, dua atau tiga ekor nyamuk yang sudah dijangkiti sebarang parasit boleh memberi risiko untuk menyebarkan penyakit dalam satu kawasan yang besar. Mudah, cepat dan mesra.

Walaupun nyamuk jangka hayatnya pendek,
Aedes aegypti (vektor denggi dan demam kuning) –2 minggu hingga 1 bulan (dewasa)
Anopheles sp : vektor filaria (wuchereria bancrofti)- 2 hingga 3 minggu (dewasa)
Ia tetap sahaja melaksanakan apa yang perlu ia lakukan semampunya.

Itu baru usianya, mari kita lihat pula keupayaan nyamuk spesies Aedes aegypti pula,

Ia boleh terbang sejauh mata memandang, sehingga 10 kilometer pada satu malam sahaja, dan ia boleh terbang 1 hingga 4 jam secara berterusan dengan kelajuan 1-2 kilometer sejam,...sangat-sangatlah bertepatan dan berfakta, mengapa Allah yang Maha Bijaksana minta kita ambil iktibar dari nyamuk...ayat al-Quran manakah yang manusia dustakan???

Lainnya, hayati firman ini,..

Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.”-Ai Hajj ayat 73

Allah beri lagi peringatan dari lalat pula. Fisiologi dan anatomi lalat, bolehlah cari sendiri.

Ayat al-Quran manakah yang hamba dan tuan hamba dustakan???

Bagaimana dengan hamba ini, mudahkah hamba untuk berinteraksi dengan masyarakat, cepatkah hamba mendekati penduduk, atau mesrakah hamba dalam berkomunikasi dengan mereka.

Bagaimana dengan tuan hamba sekalian?...alihkan balik tumpuan terhadap apa kerja yang menjadi lingkungan pandangan dan kemampuan kita...setuju? ...setuju...setuju...setuju.

Sebagai selingan,..

Hamba teringat ketika di suatu petang menunggu waktu asar di ofis tempat kerja. Ada suara-suara sumbang yang memang agak sumbang berhampiran surau. Berbual dengan tempo suara yang agak nyaring dan bakal mengganggu solat. Ada seorang insan prihatin yang ‘sound’ mereka tapi dalam keadaan ‘senyap’ dan hanya didengar oleh insan kerdil didalam surau juga, motif sampai cuma sasaran kurang tepat, tapi sekurang-kurangnya dia mahu ( ia menjadi tazkirah kepada hamba).


Akhir kalam,..
Nyamuk....tak beri peluang

Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

SMizanSaidin
9 Safar 1430H



http://en.wikipedia.org/wiki/Aedes_egypti

http://creatures.ifas.ufl.edu/aquatic/aedes_aegypti.htm

http://environmentalrisk.cornell.edu/WNV/WNV-LArchive/0610.html

Aku Kagumi Sejarah

Aku kagumi sejarah,
Dengan sejarah aku memandu arah,

Tapi aku kagumi Tuah,
Kerana setia di tebing,
Biar badai melanda,
Tak kan berpatah membelah arus

Tapi kerap ku termenung,
Apa sumbangan Jebat yang digelar derhaka?
Kelu tak bersumber.

Mengapa Jebat yang lebih diingati,
Kerana perwirakah, atau hanya pandai bersandiwara,
Dia kesatriakah atau pembawa kekacauan

Imbauan sejarah, Jebat menderhaka,
Mentaati pemerintah, atau setiakawan,
Menghunus senjata mengundang padah,
Tapi menghunus kebodohan akan bertambah kezaliman

Biar andai derhaka yang diistilahkan,
Mentaati kezaliman puncanya bala,
Mengundang noda pada sucinya setia,
Taatkan Allah, sami’na wa ata’na

Biar kuasa, biar takhta,
Biar harta, biar wanita,
Imbuhan kata boleh dipelajari,
Imbuhan dunia jangan dihampiri.

Biarlah Tuah terpacak ditebing,
Andai setia itu pendinding
Abaikan dulu ia mitos atau legenda,
Tapi garaplah ia, anggapkan teladan


SMizanSaidin
Aku kagumi Sejarah
9 Rabi’ ul Awwal 1430H

16 Mac 2009

Bercinta sampai Syurga

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…
Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?

Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?
Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]
Itulah realitinya.

Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.
Mengapa cinta menjadi permusuhan?

Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?
Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.
Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.
Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.
Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.

Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.

“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.
“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.
Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.
“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.
“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.
“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.

“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.
Kecuali sebuah penceraian…

SUATU HARI NANTI
Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa

Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana

Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan

Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi

Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.
Itulah yang banyak berlaku hari ini.

Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.

Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]
“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.
Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.
Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…
Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.
Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-