ujian, mehnah,
dugaan jua tribulasi,
berbeza cuma pada lafaz kata,
tapi sama pada kamus tarbiah
soal hati, sudah banyak yang mengulas,
tapi lebih banyak yang culas,
mencari benteng terbaik,
untuk hati yang senantiasa khilaf
sukarkan menjaga hati,
kata hadis ia Raja,
Pemutus bicara,
jua memegang tahkta
sukar sangat menjaga hati,
jika baik ia, terjaga anggota,
jika tidak, sukar bagi diri,
melestarikan cinta
kekadang Istighfar terlengah,
muncullah pawang penghisap,
bertanduk, bersepanduk,
cuba mengemudi hati
mujahadah dalam memohon ampun,
sukar biar perit,
derita kerana berbeza,
hati lain rela dinodai,
hati ini bertatih kembali ke istighfar
kerna kata Nabi,
ia penghapus dosa,
kerana kelalaian yang saat tadi berlalu,
kerana kelalaian yang cuma nanti berlaku,
kekadang hati sering tertuding,
ia gemar bicara songsang,
tak ikut kata mahu,
mahu ikut kata nafsu,
gitukan hati kita?
yang melintas kadang tercantas,
yang melukut diajak menyusut,
itulah kata songsang,
bagi hati yang bicaranya bertentang
ulang lagi,
ingat tak, kata hadis ia raja,
pemutus bicara, pemegang takhta,
jangan dibiar raja binasa,
kerna bila Raja binasa,
hinalah rakyat tercabut mulia.
sukar sangat menjaga hati,
itulah ada doa,
agar Kau tetapkan hati ini,
agar Kau pahatkan hati ini,
agar Kau benamkan hati ini,
Pada Indah Pengampun-Mu,
Pada dinding Perhatian-Mu,
jua pada tanah Kasih-Mu,
Moga dengan itu,
dapat aku merasa,
kejutan Maghfirah-Mu,
dalam jalur darah ini.
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya"
Ya Allah, kerna itu, peliharalah hati ini, tidak mahu daku menghadap-Mu di Mahsyar kelak, dengan membawa segunung nanah-nanah yang telah bersarang di hati ini, membawa seburuk-buruk zarah yang berpunca dari hati yang kotor ini.
kerna hati ini bisa berpaling, ku tidak mahu ia berpaling selain kepada-Mu, biar ke Utara ia nampak Wajah-Mu, biar ke Selatan ia melihat-Mu, biar ke Timur ia menegur-Mu, biar ke barat ia tetap menyapa-Mu,
biar di segenap ruang ia berasa ihsan, biar di segenap tempat ia berhatikan insan,
hatta andai Kau tenggelamkan hamba-Mu ini ke Lautan Pasifik sekalipun, maka lemaskanlah...maka lemaskanlah ....
...Hatiku dalam Maghfirah-Mu...