7 Apr 2010

Sentiasa ada tempat di hati-Nya

Sentiasa ada tempat di Hati-Nya


15 minit sebelum perlawanan bermula, Imtiyaz sampai di birai kedai. Kedai makan mamak ini seringkali menjadi pilihannya apabila menonton perlawanan bola sepak, seperti sudah menjadi adat dia ke situ.

5 minit sebelum perlawanan, suara pengunjung mula merencah kelam malam (pagi sebenarnya). Ada yang datang seorang diri, tak kurang juga yang berpasangan, tiga dan bahkan lebih. Kesemuanya atas maksud yang sama, menonton pasukan pilihan hati memenangi perlawanan.

Kelam pagi bertambah dingin. Hangat dan debaran menunggu perlawanan dimulakan menafikan fitrah alam yang dingin itu. Meja-meja sudah makin dipenuhi pengunjung. Ada yang berkongsi meja dengan tetamu tak dikenali. Kerusi jelas makin tidak cukup. Kelibat pelayan kedai mundar- mandir meneman gelora hati peminat bola sepak, makin terasa bahang, makin terasa debaran.

Pelanggan terus melangkah masuk ke ruang utama kedai. Kemungkinan meja dan kerusi di bahagian kaki lima kedai sudah penuh. Juga terdengar hilai tawa pasangan berlainan jantina di penjuru luar kedai, bermesra di pagi hari, awal pagi begini? Entahlah...

Order imtiyaz beberapa minit tadi, kuey teow dan teh o ais limau, sebagai penghawa bahang kedai yang semakin panas dan berbau. Lantai kedai diperhatikan Imtiyaz, cuba menilai suasana kebersihan kedai, bau makanan yang di masak melekat di baju, di tambah asap yang berkepul terbang dan bertakhta di fabrik pengunjung, situasi jadi makin panas, dan paling Imtiyaz tidak gemar, adalah bau rokok disitu. Semua itu dihadapi jua demi mencari tempat di’hati’ pemain-pemain, di hati kehidupan sebagai peminat bola sepak.

Nah, perlawanan dimulakan di layar, menepati tiupan wisel pengadil yang berbaju kuning petang ini, waktu Eropah. Bermulalah aksi lincah pemain-pemain.

------------

Se awal pagi itu, kelam, malam yang digelapkan. Bangun dengan mata kuyu, jam berdetik mampir ke angka 4, di gosoknya penjuru mata yang masih tidak mahu terbuka. Sambil menyiahkan rambut ke tepi, dia menolak pintu bilik air. Lampu dinyalakan, sambil kepala mengarah ke cermin yang terlekat di atas sinki, gelap, tiada pantulan dari cermin bersaiz kertas lukisan itu. Masih gelap. Matanya mengeram lagi, wajah comelnya terpantul perlahan-lahan, dari mata turun ke hidung, bibirnya terus menampakkan bentuk dan seluruh wajahnya muncul dari balik kantuk, dia sudah sedar, paling kurang, sedar dia sedang di bilik air.

Berkumur dan lantas membasahkan kelima-lima anggota wuduknya yang dimulai dengan niat. Kepala masih rasa pusing, kesan dari tidur, mujur jua tidur tadi masih awal, jika tidak, tentunya dia tak upaya mahu berdiri.

Kakinya menjamah lantai yang di lapisi pengelap kaki, sejuk lantai tidak terasa, apatah lagi jika dibandingkan suhu pagi ini, menggigil satu badan. Sarungnya ditukar, kopiah di capai, sambil tangan kiri masih lagi membetulkan baju melayu hijau yang dipakainya, aku siap.

Cukup dengan permaidani yang sedia terhampar, takbir dilaungkan, bergema hingga ke langit yang ke 7,

Tika itu bingitlah langit dan penghuninya, terbangun penghuninya mendengar kalimah yang membesarkan Allah SWT, di awal pagi yang tiada siapa peduli akan adanya manusia yang menyebut nama Allah, tika itu bingkas penghuni langit itu berhujah sesama sendiri, memuji-memuji pelaku tersebut di 7 lapis langit di bawah mereka.

Maka berkatalah Sang Pencipta, di hadapan makhluknya, segala penghuni langit dan bumi kecuali manusia, maka Aku sangat berbangga dengan mereka, yang tika manusia lain sibuk tidur, sibuk berdengkur, sibuk tengok bola, sibuk berbual-bual, mereka ini bangun dan memohon kepada-Ku, dengan tunduk dan tawaduk, memohon ampunan dari-Ku, dengan rasa hina dan lemah.

Tika manusia lain sibuk mencari redha didepan layar-layar rekaan, mereka ini sibuk melelahkan diri di tabir sejadah memohon kepada-Ku. Tika insan lain sedang mencari tempat dan redha dari manusia lain, tika itu mereka ini sibuk mencari tempat di hati-Ku.

Maka, tidakkan Aku sia-siakan sibuk nya mereka untuk mencari redha-Ku, kerana mereka ini tidak lain, hanya mencari tempat di hati-Ku, dan Aku sentiasa ada tempat untuk mereka.

Imtiyaz tersenyum sendiri. Andai masa itu bisa menggeleng, maka terlihatlah pada manusia akan gelengan masa-masa itu.
Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-