26 Feb 2008

Gerabak Palestin



Mahasuci (Allah), yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.


Dimanakah negara yang mempunyai berjuta manusia, yang menyaksikan Quran dikoyak, dipijak, dibakar dan digunakan sebagai tisu oleh pencabul keturunan yahudi.


“Dalam menduduki Palestin, yahudi bebas melakukan apa saja yang mereka mahukan ke atas wanita Islam, saudara kita dan memenjara pejuang muda yang bangun mempertahankan Islam, di waktu yang berusia tidak mampu melakukan apa-apa, di saat

Pemerintah dan pemimpin menjadi pembelot, di tanah yang menjadi saksi Isra’ Nabi Muhammad SAW”.


“Biarlah pemimpin datang dan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang dibuat oleh Zionis keatas penduduk Palestin, Kami tak mahu apa-apa. Biar mereka datang dan tengoklah kekejaman ini”.


Dan hari ini, dan hari ini….. wanita Islam ditangkap, dan seri kemuliaan makin lenyap. Saudara wanitaku tidur dan bangun selepas binatang itu meragut kesuciannya.


Dia menyembunyikan wajahnya, dan apa yang boleh wajah sedih ini katakan.”


Dimanakah aku, dimanakah kamu, dimanakah kita semua yang tabalkan diri sebagai seorang muslim, yang sentiasa melaungkan kamilah mujahid,…kamilah mujahid….

Dimanakah kamu…diMANAAAA…….???


Anak-anak mati dipangkuan ibunya,

Ooo, kaum muslimin, sampai bila..?sampai bila yahudi akan terus mungkiri janji

Dan memusnahkan tanah ini???.


50 tahun???.


Ooo kaum muslimin, kita menyaksikan anak yatim dan janda, dan kita melihat kesengsaraan mereka. Biarpun begitu kita abaikan mereka dan tidak tersentuh dengan keperitan yang dialami.


Wahai AQSA……Wahai AQSA….


“Mereka tidak takutkan mati, setiap saat mereka korbankan diri untuk keredhaan dan Mahabbah(cinta) Allah, seperti yang mereka laungkan “pada jalan Allah kami akan tegak berdiri menggenggam sepanduk, supaya kemuliaan itu kembali kepada Islam, atau biarlah darah kami tumpah”.


Dimana Umar al Farouq, beliau tidak meninggalkan Madinah kecuali untuk Al-Aqsa


Maafkan kami wahai saudara di Palestin



Regards,
S.Mizan Saidin
MahaSuci Allah
Majulah ikhwah untuk Dakwah,
http://www.ikhsaninsan.blogspot.com


Merdekakah aku




Untuk kalian yang mencari kemerdekaan,

Dan untuk kalian yang benar-benar sudah merdeka…,

Ku nukilkan…,



Ya Allah, jangan Kau merdekakan hamba-Mu ini. Jangan Kau bebaskan banduan ini. Jangan, Ya Allah…jangan…Sesungguhnya, insan ini alpa, sentiasa lupa…aku hamba yang leka. Ya Allah, kerap dalam iftitahku, terkumat-kamit aku menyebut, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam”.


Dalam keributan dan gamat kemerdekaan, tergambar pada saya, kegembiraan wajah ceria anak Malaysia, mendengar dan melaungkan kalimah kemerdekaan. Dan benar, tanpa disedari, rupa-rupanya sudah genap 50 tahun negara ‘mencipta’ kita. Setelah Allahyarham melaungkan lafaz kemerdekaan, lantas bertebaranlah bendera Malaysia ke serata pelusuk.


Maka, lahirlah rasa cinta pada Negara, pada ibu pertiwi, serta-merta rasa kehinaan, penderitaan, dan kesengsaraan terluput. Suatu rasa yang puas dalam diri seperti merenung kepada bunga yang kembang mekar. Pada wajah-wajah yang telah memperjuangkan kemerdekaan, dihamparkan jutaan rasa penghargaan dan pengiktirafan, kerana Tuhan, kerana kelibat mereka inilah yang bakal mewarnai catatan hidup kita kelak. Moga kalian aman bersemadi di bawah naungan KeEsaan Tuhan yang tiada berpenghujung. Kita tabalkan jasa pengorbanan kalian yang tiada noktah itu pada dasar jiwa nurani, moga terpahat ke akar umbi hati, moga perjuangan kalian diberkahi.


Tiada tangisan yang selayaknya untuk kalian. Ya, kerana kalian layaknya diraikan dengan senyuman sejuta keindahan, kerana titisan darah kalian, mutiara rembesan pejuang, tidakkan sirna, tidakkan mampu dibeli, tidakkan dapat dicari ganti.


Tapi tangisan yang sebenarnya adalah untuk diri ini. Kekhilafan yang terkadang dilakukan sering membantutkan amalan.


Jika bersendirian, pernahkah terfikir, bagaimana mahu melahirkan generasi-generasi yang benar-benar cintakan agama dan Negara? yang merdeka ? Bagaimana mahu meneruskan generasi-generasi muslim yang ada di zaman ini? Yang merdeka ? Atau dapatkan diberi jaminan kanak-kanak yang ceria pada ketika ini, bakal mewarisi takhta keagungan Islam, seperti direncana?. Ya, generasi yang benar-benar merdeka, pada nama, peribadi dan personaliti.


Adakah merdeka pada tergantinya bendera british kepada bendera Malaysia?, atau merdeka pada pentadbiran yang diserahkan kepada rakyat tempatan?, atau merdeka pada personaliti yang semakin keliru, Bagaimana?.


Ada segelintir yang sedar akan tanggungjawab sebagai warga yang merdeka, dan mereka hayati untuk mereka sampaikan, dan bukan sekadar menulis, mengcomment, tanpa penelitian.


Andaikata kemerdekaan ditafsirkan sebagai kemampuan ketenteraan Negara, kehebatan komando dan Gerak Khasnya yang berupaya membuat terjunan berpuluh ribu kaki dari muka bumi, sepatutnya kemerdekaan ditafsirkan dengan ‘pemuda penyembuh’ yang mampu terjun ke setiap jiwa sahabat mereka, mampu mengorek dan meng’eksploitasi’ jiwa dan raga pemuda, untuk dikembangkan menjadi komando-komando baru, waris-waris baru.


Bagaimanakah untuk kita berinteraksi dengan suasana dan keadaan yang mencerminkan kemerdekaan yang palsu, melaungkan kemerdekaan dengan kefahaman yang songsang. Apa dan bagaimana tugas kita perlu diarahkan, supaya kebejatan akan segera disekat. Bagaimana kepompong waris kemerdekaan dapat kita definisikan jauh dari kekafiran dan kebaratan atau keeropahan sekalipun, supaya hasilnya nanti mencirikan agama Islam, atau sekurang-kurangnya budaya Melayu.


Merdekakan diri kita, kerana tanpa teladan, tidak mungkin dapat dilangsungkan peradaban dan ketamadunan. Merdekakan diri kita, kerana persoalan yang akan muncul, kitalah cahaya yang akan memperjelaskan keadaan. Merdekakan diri kita segera, supaya kita tidak akan terus menuding pada sesiapa.


SMizanSaidin
Merdekakah Aku
Alfatah_mujahid06@yahoo.com.my


Wahai Tuhan

Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgaMu,
Namun tak pula, aku sanggup ke nerakaMu,


Terimalah taubatku,
Yang tandus mencintai makrifah denganMu,
Yang terus mengharap maghfirah dariMu.


Hati ini sayu,
Mengenangkan sengsara didalam perjuangan
Perlu ketabahan dan kekuatan
Ketulusan hati berlandaskan iman


Ku harap dapat menterjemah kelesuan ini
Ku harap boleh ku mentafsir kemuraman ini
Kerna ia akan dapat menjernihkan diri
Yang kian keruh direndam lumpur berduri


Berbagai pengiraan cuba aku pamerkan
Untuk kemaslahatan diri dan umat ini
Pelbagai jalan yang telah dirintis
Cuba aku selami walau dengan kelemahan diri


Selam dan terus menyelam
Moga bertemu dasarnya
Agar tidak terlupa
Dimana mulanya panji kesejahteraan


Untuk apakah pengorbanan ini
Itu soalan dari hati yang hina
Yang semakin dekat dengan futur
Yang semakin jauh dari luhur


Pada kesempatan hijrah
Gunakan tonggak kita dari doa
Hingga ke hujung usia dan dunia
Larilah merentas benua ke benua
Moga tersenarai kita di Syurga.


SMizanSaidin
Wahai Tuhan
Alfatah_mujahid06@yahoo.com.my




25 Feb 2008

Untuk mu teman

Untukmu yang bernama teman,
Ingin aku hadiahkan sebaik-baik kalungan,
Seindah-seindah anyaman,
Dengan seharum-harum bunga,

Kerana hati yang terpahat ini,
Saban hari semakin menyayangi,
Nilaian yang sama-sama kita kecapi,
Kenangan yang tak sudah-sudah kita lakari,

Kerana aku perantau,
Yang kerap menapak dan menjajah,
Walau dalam makna yang sementara,
Walau secebis semangat didada.

Contohku adalah kamu,
Kerana tamsilanmu adalah Rasulku,
Manusia agung karya Ilahi,
Pembimbing umat ke jalan abadi

Aku ingin melihat,
Rencana yang sama-sama kita bentangkan,
Bersemadi dalam hati-hati manusia,
Bersemi dalam peradaban ummah,

Tidak akan pernah cukup,
Apa yang kita lemparkan,
Kerna apa yang bakal dituntut,
Itulah yang kita khuatirkan.

Teman
Bangkitkanlah nostalgia itu,
Bersama ukhwah kita adun kembali,
Demi saat yang bakal kita miliki.

Teman,
Jangan mudah kita menafsir,
Mimpi indah kini,
Yang bukan untuk dirai,
Tetapi lihatlah ia,
Sebagai penterjemah diri,
Dikala kita beruzlah sunyi
Menghadap Ilahi.
SMizanSaidin
Untukmu Teman

19 Feb 2008

Perantau Mentafsir Zaman

Kepada Perantau.

Untuk ikhwah yang masih bersama dan untuk yang telah sampai ke destinasi, moga kalian terus berhalaqah, berharakah dan beruzlah dalam agama Allah,

Moga cinta kita terus pada yang Kekal, moga kasih kita tetap pada Muhammad, Moga kita kukuh pada matlamat,
Ku nukilkan firman Allah SWT ,“Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru, dan tiadalah yang ia ucapkan itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat, yang mempunyai akal yang cerdas;dan (Jibril) itu menampakkan diri dengan rupa yang asli”.


Perantau,….
Musafir perjuangan,
Tabahkanlah hatimu,
Berjuang di rantau orang,
Sedih pilu hanya Tuhan yang tahu,…

Ingatan anak dan isteri,…
Janganlah mengguris hatimu,
Kerinduan desa nan permai,
Janganlah melemahkan semangat juangmu…

Sewaktu ujian badai terus melanda
Engkau tetap gigih berjuang
Membenarkan sabda junjungan,
Terus memburu menuntut janji,
Pastilah ISLAM gemilang lagi

Tapi pejuang kembara perjuangan,
Ujian bukan batu penghalang,
Kerana itulah syarat dalam berjuang,

Oh Pejuang dimana pun ada ketenangan,
Dimana pun ada kebahagiaan,
Bila insan kenal pada Tuhan,
Kasih sayang dan pembelaannya,
Bila insan menyerahkan jiwa dan raga,
Anak dan isteri kepada Allah.


SMizan Saidin
Perantau Mentafsir Zaman
alfatah_mujahid06@yahoo.com.my

12 Feb 2008

Demi Masa


Demi masa,
Yang aku sering lari daripadanya,
Dimana aku menampakkan tawanya,
Menilai kehidupan pada kelompok kealpaan.

Sungguh, manusia itu dalam keraguan,
Pada masa, ruang dan tenaga,
Sungguh apa yang dibazirkan itu,
Bakal dituntut untuk perhitungan.

Apa yang hendak dibahaskan,
Pada ketika dan saat yang dharurat ini,
Duduk sendiri, amal nafsi-nafsi,
Sedangkan titisan darah mencorak palitan jihad.

Persekitaran yang memerlukan pemantauan,
Pada ketika dunia meraung mengharap perhatian,
Disinilah aku dan kau bertindak,
Merenjis kembali mahmudah yang semakin sirna.

Inilah yang perlu kita turuti,
Membimbing mana yang tersasar,
Menasihati pada yang tergesa-gesa.
SMizanSaidin
Demi Masa
Alfatah_mujahid06@yahoo.com.my

Perkhabaran dari Pemuda


Semua orang bercakap tentang remaja. 90% berbincang tentang produk yang ingin dijual kepada remaja. Hanya 10% sahaja yang berminat untuk berbincang bagaimana menyelamatkan remaja. Dan dari 10% itu, hanya segelintir yang memindahkan perbincangan kepada agenda. Moga kita termasuk di dalam segelintir yang kecil itu! 1

Bagi sebuah bangsa, uniknya, kekuatannya adalah pada pemuda, yang juga dikenal agent of change ( agen perubahan). Apapun yang diperjuangkan, ideologi mana pun yang dipertahankan, hampir saja mustahil untuk berjaya tanpa kesabaran dan kekuatan pemuda.
Itulah rahsianya mengapa Rasul SAW menguatkan barisan pemuda pada awal dakwahnya. Seperti contohnya Usamah bin Zaid. Inilah pernyataan yang dikongsi bersama oleh Dr. A’idh Al-Qarni dalam bukunya ,( “Selagi masih muda; Bagaimana menjadikan masa muda begitu bermakna”).

Hadith Nabi SAW yang menyebutkan tentang ingatlah dan perihatinlah dengan waktu muda sebelum sampai usia senja, tentunya sudah sebati dalam masyarakat kita. Berbagai lapisan masyarakat menghulur tangan dalam merealisasikan impian melihat waris agama dan bangsa yang sihat dan mantap.

Sebagai iktibar, disebutkan disini betapa waris agama dan bangsa kita ketika ini memonopoli keadaan dan masa. Bunuh, rogol, merompak( pecah rumah etc), dadah, zina( pergaulan bebas) dengan kerja sampingan sebagai melepak, rokok, vandalisme, remp-it, langgar lari, langgar jalan, kecuaian terletak pada siapa, semuanya perlu dan patut tertuding pada kita, kerana kesempatan untuk membuka ruang perubahan ada pada kita, masa tertuang tak kemana, dari ibubapa kepada guru, jiran, tauke kedai emas, tauke gedung, pemilik restoran , pemilik kedai runcit, tauke taugeh, polis, pihak berkuasa dan kementerian serta pihak kerajaan semuanya fokus kepada muda-mudi, termasuk pemuda yang ‘skema’ dari segi fizikal dan mental. Lihat bagaimana masa mereka tertuang tanpa faedahnya.

Dari sisi yang lain penulis tidak menafikan keterlibatan bangsa lain dan non-muslim dalam menu statistik jenayah, juga penulis tidak menutup mata terhadap segolongan umat yang menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar dari perhatian penulis, Cuma untuk melihat situasi, moga dapat mencipta solusi, bukan untuk mencambah persepsi, apatah lagi mencipta kontroversi.

Generasi inti( teras), generasi penerus ataupun generasi pengganti. Nama julukan yang sesuai untuk sesiapa saja yang memposisikan diri dalam mentarbiyah diri mengenal Allah dan RasulNya. Bila terpandangkan silibus kita sewaktu di tingkatan 3, tentunya dengan mudah dapat melihat skema ataupun lakaran bumi dengan diperincikan lapisan-lapisan yang terdapat pada bumi, dipermukaannya kerak dan lapisan paling dalam disebut core atau teras, ( lapisan bumi yang lain tidak perlu difokuskan). Lihat betapa hebatnya core ini, diposisikan pada tempat yang sukar dicapai, menunjukkan pada kita betapa sukarnya untuk sampai ke level generasi inti, di mana keimanan dan ketaqwaan di utamakan pada Allah SWT. Dinilai pada ibadat dan akhlaknya, Ditapis pada ilmu dan amalnya. Waduhh, moga Allah SWT golongkan kita dengan generasi bumi yang paling dalam.

Cuba kita lihat ciri-ciri core ini. Saiznya tidak sebesar mana, ada campuran cecair dan pepejal, suhunya yang melampau bangattt. Jelas pada kita saiz atau bilangan atau juga kita sebut kuantiti generasi ini tidak ramai, malah akan banyak berkurang dan kurang bertambah. Inilah realitinya apabila berhadapan dengan keadaan sebenarnya, tapi jangan cepat kita lupa, firman Allah SWT tentang golongan sedikit yang dapat mengalahkan golongan yang banyak.(2:249).

Maaf jika penulis khilaf, karakter yang terbina dalam remaja sekarang adalah hasil dari sikap yang kusut kerana kecelaruan pemahaman terhadap agama, agama difailsulitkan, perlu ada password dan sebagainya untuk mengaccess pengetahuan Islam, sulit untuk remaja yang fikirannya mencari yang simple, dan ia bukan kerana pengetahuan yang kurang atau tiada.

Pengetahuan Islam diletakkan pada level yang hanya dapat dinilai oleh professional, atau korporat agama, yang bahasa perantaranya melangit tinggi. Pemuda sukar untuk bernafas dengan penjelasan yang sang Penceramah yang ‘berilmu’ dan ego. Ditambah dengan subjek khilaf yang sengaja dipanjanglebarkan perbincangannya. Apa agaknya reaksi pemuda? Ingin turut serta ilmu tak setinggi mana, cuma mereka dapat melihat betapa seronoknya ‘insan penyembuh’ bercakaran sesama mereka.

Sikap pemuda makin serabut dengan anasir yang bertambah kalut. Oleh itu segolongan (pemuda) umatlah yang perlu bangkit melaksana dan menyuruh kepada makruf dan meninggalkan, mencegah yang mungkar. Sekali lagi, tak perlu menudingkan jari pada suasana, masa atau apa-apa saja, jangan tunggu warga emas bergerak dan melaksana, kerana pada masa yang sama mereka ingin sangat menuding pada kita. Apa yang perlu dilaksanakan perlu kita kotakan, (61:2-3).

Solusinya pada kita wahai pemuda, mengapa kita yang perlu bergerak? Kerana kita yang dituding ketika ini, kita yang dipersalahkan, kita yang dihina, dan bermacam-macam lagi, kita lah yang perlu bangkit, kitalah yang perlu membersihkan masa hadapan dari kepincangan, kitalah yang perlu menjernihkan suasana, asas sudah kita ada iaitu Islam, teladan sudah kita ada iaitu Muhammad SAW, petunjuk adalah yang terbaik dari Allah SWT, Cuma tunggu perlaksanaan, perlaksanaan dan perlaksanaan,

Ayuh wahai pemuda, gemparkan kembali Tanah Melayu, seperti tentera pimpinan Umar Al-Khattab, tentera Salehuddin Al-Ayyubi, tentera Usamah bin Zaid juga seperti pemuda Kahfi yang sentiasa mencari kebenaran dengan petunjuk Tuhan.

Bangkitlah,….




Ya Allah, janganlah Kau membolak-balikkan hati kami, jangan Kau pincangkan pemikiran kami, kekalkan kami pada sejadah mahmudah hamparanMu, sisihkanlah kami dari kesombongan, takbur, ujub, riak dan rantai-rantai kekejian syaitan dan mazmumah lainnya.


1 Menyelamatkan dunia esok, Saifuislam.com.



SMizan Saidin
Perkhabaran Dari Pemuda
alfatah_mujahid06@yahoo.com.my
Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-