26 Feb 2008

Merdekakah aku




Untuk kalian yang mencari kemerdekaan,

Dan untuk kalian yang benar-benar sudah merdeka…,

Ku nukilkan…,



Ya Allah, jangan Kau merdekakan hamba-Mu ini. Jangan Kau bebaskan banduan ini. Jangan, Ya Allah…jangan…Sesungguhnya, insan ini alpa, sentiasa lupa…aku hamba yang leka. Ya Allah, kerap dalam iftitahku, terkumat-kamit aku menyebut, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam”.


Dalam keributan dan gamat kemerdekaan, tergambar pada saya, kegembiraan wajah ceria anak Malaysia, mendengar dan melaungkan kalimah kemerdekaan. Dan benar, tanpa disedari, rupa-rupanya sudah genap 50 tahun negara ‘mencipta’ kita. Setelah Allahyarham melaungkan lafaz kemerdekaan, lantas bertebaranlah bendera Malaysia ke serata pelusuk.


Maka, lahirlah rasa cinta pada Negara, pada ibu pertiwi, serta-merta rasa kehinaan, penderitaan, dan kesengsaraan terluput. Suatu rasa yang puas dalam diri seperti merenung kepada bunga yang kembang mekar. Pada wajah-wajah yang telah memperjuangkan kemerdekaan, dihamparkan jutaan rasa penghargaan dan pengiktirafan, kerana Tuhan, kerana kelibat mereka inilah yang bakal mewarnai catatan hidup kita kelak. Moga kalian aman bersemadi di bawah naungan KeEsaan Tuhan yang tiada berpenghujung. Kita tabalkan jasa pengorbanan kalian yang tiada noktah itu pada dasar jiwa nurani, moga terpahat ke akar umbi hati, moga perjuangan kalian diberkahi.


Tiada tangisan yang selayaknya untuk kalian. Ya, kerana kalian layaknya diraikan dengan senyuman sejuta keindahan, kerana titisan darah kalian, mutiara rembesan pejuang, tidakkan sirna, tidakkan mampu dibeli, tidakkan dapat dicari ganti.


Tapi tangisan yang sebenarnya adalah untuk diri ini. Kekhilafan yang terkadang dilakukan sering membantutkan amalan.


Jika bersendirian, pernahkah terfikir, bagaimana mahu melahirkan generasi-generasi yang benar-benar cintakan agama dan Negara? yang merdeka ? Bagaimana mahu meneruskan generasi-generasi muslim yang ada di zaman ini? Yang merdeka ? Atau dapatkan diberi jaminan kanak-kanak yang ceria pada ketika ini, bakal mewarisi takhta keagungan Islam, seperti direncana?. Ya, generasi yang benar-benar merdeka, pada nama, peribadi dan personaliti.


Adakah merdeka pada tergantinya bendera british kepada bendera Malaysia?, atau merdeka pada pentadbiran yang diserahkan kepada rakyat tempatan?, atau merdeka pada personaliti yang semakin keliru, Bagaimana?.


Ada segelintir yang sedar akan tanggungjawab sebagai warga yang merdeka, dan mereka hayati untuk mereka sampaikan, dan bukan sekadar menulis, mengcomment, tanpa penelitian.


Andaikata kemerdekaan ditafsirkan sebagai kemampuan ketenteraan Negara, kehebatan komando dan Gerak Khasnya yang berupaya membuat terjunan berpuluh ribu kaki dari muka bumi, sepatutnya kemerdekaan ditafsirkan dengan ‘pemuda penyembuh’ yang mampu terjun ke setiap jiwa sahabat mereka, mampu mengorek dan meng’eksploitasi’ jiwa dan raga pemuda, untuk dikembangkan menjadi komando-komando baru, waris-waris baru.


Bagaimanakah untuk kita berinteraksi dengan suasana dan keadaan yang mencerminkan kemerdekaan yang palsu, melaungkan kemerdekaan dengan kefahaman yang songsang. Apa dan bagaimana tugas kita perlu diarahkan, supaya kebejatan akan segera disekat. Bagaimana kepompong waris kemerdekaan dapat kita definisikan jauh dari kekafiran dan kebaratan atau keeropahan sekalipun, supaya hasilnya nanti mencirikan agama Islam, atau sekurang-kurangnya budaya Melayu.


Merdekakan diri kita, kerana tanpa teladan, tidak mungkin dapat dilangsungkan peradaban dan ketamadunan. Merdekakan diri kita, kerana persoalan yang akan muncul, kitalah cahaya yang akan memperjelaskan keadaan. Merdekakan diri kita segera, supaya kita tidak akan terus menuding pada sesiapa.


SMizanSaidin
Merdekakah Aku
Alfatah_mujahid06@yahoo.com.my


Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-