28 Ogo 2009

Indahnya

alangkah indahnya hari ini
andai dapat ku terus bertasbih padaMu
Ku tahu kemuliaan RamadhanMu,
ku tahu Maha Pemurahnya Kau wahai TuhanKu

dengan Tahajud dan tarawih,
dengan tasbih dan tahmid
dengan zikir dan fikir

alangkahnya indahnya hidup ini,
andai dapat ku terus dengan RamadhanMu

ikhsaninsan
Ramadhan al Mubarak

25 Ogo 2009

tinta pendamba cinta

Zuhud itu tunduk
pada Khaliq : Pencipta
Tawaduk itu duduk
tersimpuh disejadah hamba
taqarrub itu lubuk
yang menakung jiwa pendamba cinta

yang zahir itu tinta
yang batin itu cinta
kerana tinta tampak jelas
hasil cinta dari jiwa tulus

yang awal itu satu
yang akhir jua satu
yang tinggal hanya Dia
tiada siang tiada malam

ikhsaninsan
lahir untuk menzahir

20 Ogo 2009

Moga ku temui Ramadhan ini

Tiada resepi yang tepat untuk berjaya, kerana setiap manusia mempunyai perbezaan dalam menangani kegagalan, ada yang berjaya menjatuhkan kegagalan, ada yang separuh berjaya (terpulang kepada individu), dan ada yang tidak berjaya.

Disebalik kehidupan, bila ditimpa kesibukan, akan ada rasa tertekan dan kecewa, kemungkinan ia akan berpanjangan atau tidak, bergantung kepada empunya diri yang menghadapinya. Terkadang akan kekok untuk diselesaikan, ia mengganggu jiwa dan memeningkan kepala, memang sudah fitrah, sudah namanya pun masalah.

Tertekan dengan kerja, suatu keadaan yang sudah tentu banyak mengganggu manusia. Dengan seribu satu kehendak majikan dan seribu dua keperluan kita untuk memberikan yang terbaik, mental akan sedikit mudah terganggu dan penyelesaiannya?...

Sudah tentu akan ada insan yang terguris hati dek kerana emosionalnya diri, dek kerana terlajak kata, terlebih mimik muka, kerana terlebih muncung akan mengundang muncung-muncung yang lain. Tercetusnya emosi yang berlebihan itu juga mungkin kerana tekanan sampingan. Kesibukan kerja, kepadatan kenderaan ketika pulang dari tempat kerja, dan pembonceng motosikal (yang lebih nampak seperti terbang), pemandu kereta yang merasa”besar’ di jalan raya, dan berbagai-bagai lagi.
Itu semua menambah rempah dan rencah dalam jiwa, menjadikan jiwa berterusan tertekan, terdesak dan seterusnya terbitlah adegan-adegan yang kurang enak dilihat.

Justeru ia perlukan sedikit pelincir, agar kepadatan jiwa itu terus lancar pergerakannya,
Justeru ia perlukan sedikit penebat, agar dapat menjauhi arus dan cas yang tidak elok,
Ia perlukan sedikit ruang, agar kembali mempunyai peluang untuk bernafas.

Ramadhan adalah jawapannya, untuk jiwa yang padat dengan kerja, bulan inilah pelincirnya,
Ia lah penebat yang mampu bertahan di kala kegundahan cas-cas negatif mempengaruhi jiwa,
Dengan Ramadhan lah, terbuka kembali ruang yang hampir tertutup, yang leka kembali tersentak, yang alpa kembali terpana, yang lalai kembali tersedar.

Ramadhan, bulan suci, mensucikan jiwa, dengan tadarrus, tadabbur , dengan istighfar bersulam tasbih, tahmid dan takbir, bernada sendu menundukkan diri,

Ya Allah, Yang Maha Pelembut.
Ya Allah, Yang Maha Pelembut.
Ya Allah, Yang Maha Pelembut.

Lembutkan hati ini, untuk bercinta di Ramadhan Mu...
Tenangkanlah hati ini.....Ya Allah

Moga ku temui Ramadhan ini....

Selamat datang Ramadhan

ikhsaninsan,

17 Ogo 2009

topeng

alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih lagi memberi keizinan dan kelapangan buat saya menulis, masih lagi diberi ruang dan peluang untuk memberi, masih lagi diberi rahmat dan kesempatan yang banyak untuk menterjemahkan amal dalam rutin kehidupan.

selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahlul Bait, sahabat sahabiah, tab'in dan tabi' tab'in, ulama-ulama, syuhada dan mujahidin, dan mereka-mereka yang masih lagi berjuang untuk menegakkan Agama Allah, dan mudah-mudahan kita berdoa dan mengharapkan moga-moga Allah meletakkan kita dalam golongan-golongan orang yang memperjuangkan Agama Islam di muka bumi ini.

salam takziah dipanjangkan buat ahli-ahli keluarga dan sanak saudara kepada allahyarham dan allahyarhamah mangsa-mangsa H1N1. Moga Allah golongkan mereka dalam manusia yang dinaungi Allah di sana.

tidak dinafikan, gelombang H1N1 yang melanda masih lagi berterusan di negara kita, dan saban hari statistik bagi kadar jangkitan H1N1 semakin meningkat, dan kerajaan malah pihak berwajib sentiasa mengembleng tenaga dan masa dalam usaha untuk menangani gejala ini agar keadaan sosial dan kesihatan rakyat dikembalikan seperti sedia kala.

dapat kita lihat rakyat Malaysia dalam usaha untuk menghindari diri dari dijangkiti telah melakukan pelbagai usaha, saranan kerajaan telah dipandang serius dan pelbagai langkah pencegahan telah dipraktikkan. Pendemik ini telah menjadikan majoriti rakyat meningkatkan tahap kebersihan diri dan keluarga. ini adalah suatu tindakan yang bijak dalam usaha untuk menangani Air-borne disease tersebut.

sana sini dapat kita lihat orang ramai memakai topeng muka, yang muda, yang tua, yang sakit, yang sihat, yang berjalan, yang bertongkat, yang berkereta, yang berbasikal, yang sedang bersukan, yang wanita dan yang lelaki, ramai yang sudah memakainya.

tapi pada pandangan saya ada sesuatu yang pelik telah makin terserlah kepelikannya. kelibat-kelibat mereka yang menjauhi virus H1N1 telah melekakan mereka tentang penyakit yang sudah lama membiak dalam badan manusia. manusia semakin lupa penyakit ini telah beranak-pinak dalam sosial kehidupan manusia.

yang menutup hidung dan mulut, terlupa dia sedang mengenakan pakaian yang tidak menutup apa yang wajib ditutup, hidung dan mulut ditutup sempurna, pakaian yang dipakai ketat walaupun lengkap menutup anggota, "pakai baju tetapi telanjang".

yang lelaki, lebih trauma dengan H1N1 walau dijari masih terlekat ubat nyamuk berjenama gudang garam (baca : gudang haram), sibuk menceritakan sana ada kematian, sini ada kes, kes di badan tak tertuding, ingat mati untuk diri sendiri tidak, sibuk menceritakan mati orang lain.

penyakit membuka aurat lebih utama menjadi perhatian, bukannya H1N1, pakai topeng sehingga nak berjalan pun terhalang pandangan, terlupa pula seluar ketatnya yang menyulitkan pergerakan. yang lelaki kecoh berfutsal dengan seluar yang kononnya memudahkan pergerakan jua sibuk dengan topeng muka. jadilah manusia bertopeng yang memahami fungsi "topeng" sebagai penutup. penutup dari kelalaian, penutup dari kemungkaran.

penyakit yang datang jadikan ia sebagai pengajaran. itu mungkin bala Tuhan kafarah (penghapus) dosa, namun penyakit yang tidak menyerang jangan pula kita tempah tempat untuk meraikan kedatangannya

"hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."-at tahrim : 6

jauhilah penyakit yang mampu kita jauhi, moga kelak ia bermanfaat untuk diri dan keluarga.

pesanan ini dibawa khas oleh diri ini.


ikhsaninsan
selamat berpuasa

10 Ogo 2009

senyum



senyum
senyum itu tanda suka
senyum itu simbol gembira

senyum
senyum itu tanda redha,
tika senang tika susah

senyum
senyum itu pemberi makna,
pada kata jua rupa.

9 Ogo 2009

Bila akan sempurna

saban hari orang beriman itu melakukan aktiviti harian, mandi, solat, bekerja, bersukan, dan pelbagai lagi. Ia sudah menjadi suatu kelaziman bagi manusia untuk berasa selesa dengan rutin hariannya. Tidak mustahil untuk melihat manusia ke sana ke mari untuk memenuhi agenda kehidupan. Dan sebagai manusia memenuhi tuntutan kehidupan itu merupakan suatu kemestian dalam meneruskan kesinambungan keturunan manusia di bumi Allah ini.

Tidak dinafikan sifat Pemurah Allah SWT ditebarkan ke seluruh pelusuk alam ini, justeru dapat kita lihat bukan sahaja manusia mendapat nikmat Allah, bahkan makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan, di langit dan dibumi turut sama menikmatinya. Dan kepada manusia, tiada Allah sisihkan sama ada mereka beriman atau tidak untuk mendapat secebis sifat Pemurah Allah ini. Tetapi dek kerana orang beriman itu telah Allah anugerahkan mereka cahaya dan meninggikan mereka dari semua manusia, Allah tambahkan sedikit tugasan mereka dan Allah tetapkan bahawa menjadi suatu kemestian bagi mereka menyampaikan Islam kepada manusia lain, sama ada yang sudah menganut Islam ataupun sebaliknya.

"kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. " 103 : 3

sampaikanlah tentang agama walau ketika kita senang dan walau ketika susah. Sampaikanlah Islam walau kita sedang merasa ringan atau sebaliknya. Ganjaran yang besar bagi mereka yang meyakini akan ada pertolongan dari Allah kepada manusia yang menolong menyebarkan agama Allah. Telah Allah berikan rezeki pada manusia dengan sebanyak-banyaknya.

"Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya)."55 : 10

dan berbagai-bagai lagi, maka nikmat Allah yang manakah yang kita dustakan. Namun, seperti mana Allah gambarkan dalam Al-Quran Karim, bahawa sedikit sahaja di kalangan manusia itu bersyukur,

"Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur". 67 : 23

bukankah telah Allah jadikan pendengaran, penglihatan dan hati manusia itu lengkap sempurna, bukankah?
bukankah telah Allah berikan tubuh badan yang saban hari kita tertanya-tanya zat jenis apakah yang mahu kita isi hari ini?, bukankah dengan tangan ini yang kita gunakan untuk memilih lauk-pauk yang bersesuaian dengan selera kita, bukankah?
bukankah dengan sebaik-baik kejadian kita ini, kita menjadi makhluk manusia yang tiada atau kurang bersyukur, apakah logik kita membelakangkan Dzat yang memberi kita kehidupan?

bersama-samalah untuk melihat teguran Allah kepada Bani Izrail,

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Bani Israil Al Kitab (Taurat), kekuasaan dan kenabian dan Kami berikan kepada mereka rezki-rezki yang baik dan Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa (pada masanya).45 : 16

Bani Izrail boleh disebutkan sebagai kaum yang lengkap, hebat, complete, yang sempurna, dari segenap segi.
Telah Allah anugerahkan berbagai-bagai sumber-sumber kepada mereka, dari ilmu sampailah kepada pembimbing mereka, lihat sahajalah beberapa Rasul yang Allah lahirkan dari bangsa mereka. Nabi Ishaq, Yaakob, Yusuf , Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya, Isa, Musa , Harun dan banyak lagi, mereka dikurniakan Taurat, mereka diberi kekuasaan, malahan kekuasaan sehingga ke hari ini boleh kita lihat pada bangsa mereka, dan Allah angkat bangsa mereka melebihi bangsa lain, mereka lebih tinggi dari bangsa Firaun walaupun mereka di tindas, Allah bantu mereka ketika cemas dan takut memenuhi jiwa mereka, ketika tiada Dzat lain yang dapat membantu, ketika itulah Allah turunkan pertolongan melalui perantaraan RasulNya.

justeru, dari pandangan normal seorang manusia, bukankah dapat dilihat bahawa mereka (bani Izrael) lebih wajar dan perlu sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada Allah, dan lebih dari itu, sebetulnya merekalah yang bakal menjadi simbol kepada kejayaan tamadun manusia, dengan segala macam petunjuk dan bantuan Allah SWT, posisi mereka boleh ditonjolkan sebagai pemimpin dalam kehidupan manusia.

Dengan banyaknya sumber yang menjadikan bani Izrael bangsa terbaik ketika itu, tetap sahaja ia tidak berupaya menjadikan Bani Izrael itu menjadi pendokong kepada agama yang di bawa oleh Rasul mereka, tetap sahaja mereka kembali menafikan agama Allah, tetap sahaja mereka menjadi kaum yang SIBUK dengan pertanyaan, bukannya dengan kerja membawa agama Allah, tetap sahaja mereka menjadikan Rasul mereka terus-menerus menderita membawa agama Allah berseorangan dan diinjak oleh mereka sendiri, tiada rasa bersalah dan mereka tiada rasa bahawa kepentingan membawa agama Allah itu juga terpikul di bahu mereka.

dan dari kisah bani Izrael ini membuktikan bahawa kesempurnaan pada sesuatu bangsa itu tidaklah membuktikan bahawa umat atau bangsa tersebut sudah betul-betul mampu mengembleng tenaga membawa Islam, kesempurnaan pada pandangan manusia sudah barang tentu tidak dapat membuktikan bahawa mereka berupaya untuk bersatu tenaga membawa agama allah pada tempatnya.

sewajarnya menjadi iktibar bagi orang beriman untuk mengambil pelajran dari kisah bani Izrael, hindarilah kepercayaan pada diri orang beriman itu bahawasanya apabila kita sudah lengkap seperti mana Bani Izrael barulah kita hendak membantu agama Allah, apabila kita sudah mendapat kuasa, barulah kita nak termengah-mengah menolong agama Allah, apabila kita sudah mendapat rezeki yang baik dan terbaik dari Allah barulah hendak berdakwah, dan adakah kita juga hendak menantikan datang Rasul yang baru pada bangsa dan umat ini, barulah kita hendak berjuang mengembalikan Islam, dan apakah mungkin ada lagi nabi selepas Rasul Muhammad SAW!!!

adakah jaminan kita akan membantu agama Allah ini selepas segala-galanya kita miliki? apakah akan kita bersama golongan yang menyerukan hak, menegah batil, apakah? apa mungkin kita yakin bahawa tidak akan Allah timpakan penyakit yang sama seperti yang menimpa Bani Israel dari menimpa diri kita?

telah Allah sebutkan bahawa manusia itu Khalifah, yang memandu diri sendiri, dan orang beriman yang prihatin itu merupakan nakhoda yang terbaik dalam mengemudi pelayaran yang panjang ini, ombak, badai itu suatu yang pasti, cuma bagaimana kita mengharunginya itu yang hendak kita perhati, adakah badai menjelang, kita tarik sampan penyelamat untuk kita melarikan diri dan meninggalkan manusia di belakang terkapai-kapai,
atau kita terus terpahat pada tombol pengemudi, bertapak tetap mengharungi bersama terus mengemudi.

ikhsaninsan.
ada Hari Yang Sudah Pasti.



3 Ogo 2009

Aku juga mahu bersuara


nak kata marah...siapa yang tak marah,
nak kata bengang...siapa yang tak bengang...
nak kata bangang...memang ada yang boleh dikatakan bangang.

negeri kelahiran sendiri semakin porak peranda...

perak..dalam silibus tingkatan 3, 10-20 tahun akan datang akan menjadi negeri yang utama dalam penyelidikan tentang politik...bahkan pertentangan diantara keperluan politik dan kerakusan politik...sesiapa sahaja yang berkenan untuk melanjutkan diri dalam bidang sains politik, Perak destinas "cuti-cuti Malaysia" anda.

selama berpuluh tahun , Perak telah membekalkan satu tapak semacam neraka teluk guantanamo, yang bahkan merupakan suatu tempat yang mungkin hanya sesuai untuk beruk dan kera yang terbiar...

dan kebelakangan ini, ia terus diberi perhatian terbaru berkenaan tsunami politik yang luar biasa, ia bahkan seperti El Nino sedang cuba untuk bersama La Nina...sesuatu yang mustahil....

bahkan lebih buruk, bila mana beruk-beruk terbiar turut sama mengikut dan menerima arahan dari burung pemakan bangkai, yang pada masa yang sama burung tersebut juga sedang cuba menyaingi dubuk-dubuk yang kebiasaannya kita boleh mendengar ia mengeluarkan bunyi "ukk..ukk...ukk"...bila mana ia sedang lapar...

Biar Bulan Berbicara

teringat satu lagu dendangan seorang seniman dari seberang, beliau menyebut bulan....
suatu juzuk yang sukar di capai secara fizikal, namun boleh jika melalui perantaraan lensa ataupun robot...

bila mana melihatkan, tiada satu pun pihak yang berautoriti melibatkan diri dalam memberi pandangan mengenai isu -you-know-what-, rakyat semakin terdesak dan parah. Rakyat yang kini lebih maklum bahawa keperluan kepada kehidupan adalah kebebasan, memahami bahawa isu -you-know-what- itu adalah sesuatu yang mencabar hak asasi manusia...mereka bangun membela dengan pelbagai cara.

dari memorandum ke mahkamah, ke institusi Beraja, parlimen, malah dibahaskan di Geneva dengan begitu susah payah, namun hanya sia-sia...

anjing salak bukit...bulan jua tak kan jatuh ke riba...
bulan tetap di atas sana...tak memahami pertuturan dan harapan penduduk Bumi...

gemar untuk memetik pendapat bekas mufti Perlis yang mencadangkan mufti dan juga Majlis Fatwa di Malaysia campur tangan...jika tidak mahu guna tangan campur kaki pun sudah dikira cukup, kerana Majlis fatwa adalah badan berautoriti.

terasa untuk mempertikaikan prinsip badan agama Perak terutama pejabat mufti, bila mana mengambil mudah perkara ini, pejabat mufti yang sama mempelopori bahawa Sure Heboh itu sure haram, pejabat yang sama yang menjadi rujukan rakyat kerana kelantangan Muftinya mempertahankan Islam, namun.........

namun, tsunami itukan air bah, yang kekuatannya terlalu luar biasa untuk dipertahankan dengan kudrat manusia, terlalu lemah manusia ini, terlalu lemah.

di mana suara kekuatan yang rakyat nantikan,...
ke mana perginya kelantangan fatwa yang mempertahankan rakyat,...
apakah kelantangan itu telah jua tumbang bersama pohon kelapa di tepi pantai Acheh...ketika tsunami itu melanda...

Darul Ridzuan mungkin jua perlu ditukarkan kepada gelaran yang lebih signifikan....terpulanglah untuk menggantikannya...kemungkinan dengan nama baru, Perak juga boleh menjadi 1 Perak.

wahai Mufti, wahai ahli agama, bersuaralah,
wahai Sultan yang ku junjung mulia, bertitahlah,

kebodohan yang telah timbul makin terserlah kestupidannya,
janganlah biar rakyat menggila, dengan kalian sibuk bermesyuarat, diempuknya kerusi setinggi 5 kaki,
ingatlah 5 kaki itulah yang akan menemani kamu pemegang takhta,
dan 5 kaki itulah yang akan menemani daku hamba hina,

wahai rakyat, aku bersamamu,
aku seru kamu bersabarlah,


ikhsaninsan,
kembalikan tanah kami.

Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-