Tiada resepi yang tepat untuk berjaya, kerana setiap manusia mempunyai perbezaan dalam menangani kegagalan, ada yang berjaya menjatuhkan kegagalan, ada yang separuh berjaya (terpulang kepada individu), dan ada yang tidak berjaya.
Disebalik kehidupan, bila ditimpa kesibukan, akan ada rasa tertekan dan kecewa, kemungkinan ia akan berpanjangan atau tidak, bergantung kepada empunya diri yang menghadapinya. Terkadang akan kekok untuk diselesaikan, ia mengganggu jiwa dan memeningkan kepala, memang sudah fitrah, sudah namanya pun masalah.
Tertekan dengan kerja, suatu keadaan yang sudah tentu banyak mengganggu manusia. Dengan seribu satu kehendak majikan dan seribu dua keperluan kita untuk memberikan yang terbaik, mental akan sedikit mudah terganggu dan penyelesaiannya?...
Sudah tentu akan ada insan yang terguris hati dek kerana emosionalnya diri, dek kerana terlajak kata, terlebih mimik muka, kerana terlebih muncung akan mengundang muncung-muncung yang lain. Tercetusnya emosi yang berlebihan itu juga mungkin kerana tekanan sampingan. Kesibukan kerja, kepadatan kenderaan ketika pulang dari tempat kerja, dan pembonceng motosikal (yang lebih nampak seperti terbang), pemandu kereta yang merasa”besar’ di jalan raya, dan berbagai-bagai lagi.
Itu semua menambah rempah dan rencah dalam jiwa, menjadikan jiwa berterusan tertekan, terdesak dan seterusnya terbitlah adegan-adegan yang kurang enak dilihat.
Justeru ia perlukan sedikit pelincir, agar kepadatan jiwa itu terus lancar pergerakannya,
Justeru ia perlukan sedikit penebat, agar dapat menjauhi arus dan cas yang tidak elok,
Ia perlukan sedikit ruang, agar kembali mempunyai peluang untuk bernafas.
Ramadhan adalah jawapannya, untuk jiwa yang padat dengan kerja, bulan inilah pelincirnya,
Ia lah penebat yang mampu bertahan di kala kegundahan cas-cas negatif mempengaruhi jiwa,
Dengan Ramadhan lah, terbuka kembali ruang yang hampir tertutup, yang leka kembali tersentak, yang alpa kembali terpana, yang lalai kembali tersedar.
Ramadhan, bulan suci, mensucikan jiwa, dengan tadarrus, tadabbur , dengan istighfar bersulam tasbih, tahmid dan takbir, bernada sendu menundukkan diri,
Ya Allah, Yang Maha Pelembut.
Ya Allah, Yang Maha Pelembut.
Ya Allah, Yang Maha Pelembut.
Lembutkan hati ini, untuk bercinta di Ramadhan Mu...
Tenangkanlah hati ini.....Ya Allah
Moga ku temui Ramadhan ini....
Selamat datang Ramadhan
ikhsaninsan,