9 Ogo 2009

Bila akan sempurna

saban hari orang beriman itu melakukan aktiviti harian, mandi, solat, bekerja, bersukan, dan pelbagai lagi. Ia sudah menjadi suatu kelaziman bagi manusia untuk berasa selesa dengan rutin hariannya. Tidak mustahil untuk melihat manusia ke sana ke mari untuk memenuhi agenda kehidupan. Dan sebagai manusia memenuhi tuntutan kehidupan itu merupakan suatu kemestian dalam meneruskan kesinambungan keturunan manusia di bumi Allah ini.

Tidak dinafikan sifat Pemurah Allah SWT ditebarkan ke seluruh pelusuk alam ini, justeru dapat kita lihat bukan sahaja manusia mendapat nikmat Allah, bahkan makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan, di langit dan dibumi turut sama menikmatinya. Dan kepada manusia, tiada Allah sisihkan sama ada mereka beriman atau tidak untuk mendapat secebis sifat Pemurah Allah ini. Tetapi dek kerana orang beriman itu telah Allah anugerahkan mereka cahaya dan meninggikan mereka dari semua manusia, Allah tambahkan sedikit tugasan mereka dan Allah tetapkan bahawa menjadi suatu kemestian bagi mereka menyampaikan Islam kepada manusia lain, sama ada yang sudah menganut Islam ataupun sebaliknya.

"kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. " 103 : 3

sampaikanlah tentang agama walau ketika kita senang dan walau ketika susah. Sampaikanlah Islam walau kita sedang merasa ringan atau sebaliknya. Ganjaran yang besar bagi mereka yang meyakini akan ada pertolongan dari Allah kepada manusia yang menolong menyebarkan agama Allah. Telah Allah berikan rezeki pada manusia dengan sebanyak-banyaknya.

"Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk(Nya)."55 : 10

dan berbagai-bagai lagi, maka nikmat Allah yang manakah yang kita dustakan. Namun, seperti mana Allah gambarkan dalam Al-Quran Karim, bahawa sedikit sahaja di kalangan manusia itu bersyukur,

"Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur". 67 : 23

bukankah telah Allah jadikan pendengaran, penglihatan dan hati manusia itu lengkap sempurna, bukankah?
bukankah telah Allah berikan tubuh badan yang saban hari kita tertanya-tanya zat jenis apakah yang mahu kita isi hari ini?, bukankah dengan tangan ini yang kita gunakan untuk memilih lauk-pauk yang bersesuaian dengan selera kita, bukankah?
bukankah dengan sebaik-baik kejadian kita ini, kita menjadi makhluk manusia yang tiada atau kurang bersyukur, apakah logik kita membelakangkan Dzat yang memberi kita kehidupan?

bersama-samalah untuk melihat teguran Allah kepada Bani Izrail,

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Bani Israil Al Kitab (Taurat), kekuasaan dan kenabian dan Kami berikan kepada mereka rezki-rezki yang baik dan Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa (pada masanya).45 : 16

Bani Izrail boleh disebutkan sebagai kaum yang lengkap, hebat, complete, yang sempurna, dari segenap segi.
Telah Allah anugerahkan berbagai-bagai sumber-sumber kepada mereka, dari ilmu sampailah kepada pembimbing mereka, lihat sahajalah beberapa Rasul yang Allah lahirkan dari bangsa mereka. Nabi Ishaq, Yaakob, Yusuf , Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya, Isa, Musa , Harun dan banyak lagi, mereka dikurniakan Taurat, mereka diberi kekuasaan, malahan kekuasaan sehingga ke hari ini boleh kita lihat pada bangsa mereka, dan Allah angkat bangsa mereka melebihi bangsa lain, mereka lebih tinggi dari bangsa Firaun walaupun mereka di tindas, Allah bantu mereka ketika cemas dan takut memenuhi jiwa mereka, ketika tiada Dzat lain yang dapat membantu, ketika itulah Allah turunkan pertolongan melalui perantaraan RasulNya.

justeru, dari pandangan normal seorang manusia, bukankah dapat dilihat bahawa mereka (bani Izrael) lebih wajar dan perlu sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada Allah, dan lebih dari itu, sebetulnya merekalah yang bakal menjadi simbol kepada kejayaan tamadun manusia, dengan segala macam petunjuk dan bantuan Allah SWT, posisi mereka boleh ditonjolkan sebagai pemimpin dalam kehidupan manusia.

Dengan banyaknya sumber yang menjadikan bani Izrael bangsa terbaik ketika itu, tetap sahaja ia tidak berupaya menjadikan Bani Izrael itu menjadi pendokong kepada agama yang di bawa oleh Rasul mereka, tetap sahaja mereka kembali menafikan agama Allah, tetap sahaja mereka menjadi kaum yang SIBUK dengan pertanyaan, bukannya dengan kerja membawa agama Allah, tetap sahaja mereka menjadikan Rasul mereka terus-menerus menderita membawa agama Allah berseorangan dan diinjak oleh mereka sendiri, tiada rasa bersalah dan mereka tiada rasa bahawa kepentingan membawa agama Allah itu juga terpikul di bahu mereka.

dan dari kisah bani Izrael ini membuktikan bahawa kesempurnaan pada sesuatu bangsa itu tidaklah membuktikan bahawa umat atau bangsa tersebut sudah betul-betul mampu mengembleng tenaga membawa Islam, kesempurnaan pada pandangan manusia sudah barang tentu tidak dapat membuktikan bahawa mereka berupaya untuk bersatu tenaga membawa agama allah pada tempatnya.

sewajarnya menjadi iktibar bagi orang beriman untuk mengambil pelajran dari kisah bani Izrael, hindarilah kepercayaan pada diri orang beriman itu bahawasanya apabila kita sudah lengkap seperti mana Bani Izrael barulah kita hendak membantu agama Allah, apabila kita sudah mendapat kuasa, barulah kita nak termengah-mengah menolong agama Allah, apabila kita sudah mendapat rezeki yang baik dan terbaik dari Allah barulah hendak berdakwah, dan adakah kita juga hendak menantikan datang Rasul yang baru pada bangsa dan umat ini, barulah kita hendak berjuang mengembalikan Islam, dan apakah mungkin ada lagi nabi selepas Rasul Muhammad SAW!!!

adakah jaminan kita akan membantu agama Allah ini selepas segala-galanya kita miliki? apakah akan kita bersama golongan yang menyerukan hak, menegah batil, apakah? apa mungkin kita yakin bahawa tidak akan Allah timpakan penyakit yang sama seperti yang menimpa Bani Israel dari menimpa diri kita?

telah Allah sebutkan bahawa manusia itu Khalifah, yang memandu diri sendiri, dan orang beriman yang prihatin itu merupakan nakhoda yang terbaik dalam mengemudi pelayaran yang panjang ini, ombak, badai itu suatu yang pasti, cuma bagaimana kita mengharunginya itu yang hendak kita perhati, adakah badai menjelang, kita tarik sampan penyelamat untuk kita melarikan diri dan meninggalkan manusia di belakang terkapai-kapai,
atau kita terus terpahat pada tombol pengemudi, bertapak tetap mengharungi bersama terus mengemudi.

ikhsaninsan.
ada Hari Yang Sudah Pasti.



Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-