Apakah ada pada ku?
“apakah ada padaku sifat-sifat orang munafiq itu”? itulah pertanyaan mahsyur dari salah seorang manusia yang telah dijanjikan syurga, Saidina Umar al-Farouq, ketika dia berhadapan dengan seorang sahabat ,Huzaifah ibnu Yaman.
Huzaifah r.a merupakan sahabat yang dipercayai Rasul SAW, baik ketika baginda masih hidup. Dan dipercayai juga oleh para sahabat r.a yang lain selepas kewafatan baginda. Huzaifah merupakan “peti simpanan” yang mana dikhabarkannya oleh Rasul SAW kepadanya beberapa perkara rahsia dan antaranya adalah SIAPAKAH ORANG MUNAFIK!!!
Huzaifah r.a bukan sahaja diberitakan oleh Nabi SAW akan ciri-ciri orang munafik, bahkan kepadanya juga Rasul SAW memberitakan nama-nama orang munafik ketika zaman Rasul SAW masih hidup. Ya, si fulan bin fulan itu munafik, dan si fulan bin fulan ini munafik, itulah rahsia yang hanya diketahui oleh sahabat r.a yang seorang ini.
Saya teringat satu hari, ketika saya dan sahabat2 sedang mentadabbur ayat dari surat an-Nazi'at, seorang sahabat bangun dan berbicara mengenai ayat 35 surah tersebut :
“pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya”
Ayat ini, kata beliau, menjurus kepada sifat nifaq ( orangnya munafik) yang disembunyikan, tersembunyi dari pandangan manusia, terhijab dari mata masyarkat, tidak diketahui oleh kaum kerabat, juga terlepas dari sebarang hukuman manusia. Tetapi tentunya tidak dapat terlepas dari pandangan Tuhan di mahsyar kelak.
Apa-apa yang disembunyikan, melakukannya secara senyap, dan sebagainya tentunya dapat dilihat oleh Allah SWT. Memetik tafsiran As-Syahid Sayyid Qutb ;
Pada saat itu “manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya”. Dia mungkin lupa dengan peristiwa-peristiwa dan kesenangan-kesenangan kehidupan ini dan mungkin juga dia tidak ingat terhadap apa yang telah dilakukannya. Tetapi dia kelak akan ingat kembali semuanya, ketika ingatan itu tidak membawa apa-apa kepadanya melainkan kesedihan dan penyesalan sebaik saja dia menyedari apakah kesudahan yang akan diterimanya, yang berupa azab dan bencana.
Teringat saya akan kisah mahsyur dari sahabat Abdullah ibnu Mas’ud, bila mana beliau sentiasa diikuti oleh orang kebanyakan untuk menadah kekayaan ilmunya, beliau berkata, “ orang ramai mengikutiku kerana inginkan ilmu yang ada padaku, tetapi jika mereka mengetahui apa yang ku lakukan disebalik pintu, nescaya tidak akan ada lagi orang yang mahu mengikutiku”
Allah menegur sikap yang sama pada orang Al-A’raab (kampung @pedalaman), kisah perjanjian Hudaibiah dalam surah Al-fath, yang mana mereka cuba mengingkari firman Allah, arahan Tuhan tidak diendahkan, dan kemudian lebih parah lagi mereka menuduh orang mukmin yang lain dengki terhadap mereka, 48 : 15.
Saya tertarik dengan tulisan seorang kolumnis majalah Solusi, Mohd Al-Adib Samuri, http://www.al-adib.net berkenaan takutkan Allah, walau di mana kita berada, walau apa pun jawatan kita, walau apa pun yang kita gunakan, dan berbagai-bagai ‘walau’ lagi, semuanya perlu kepada reminder bahawa Allah sentiasa melihat kita.
Lain dari itu, kefahaman kepada perkataan Ihsan, sebetulnya mampu mengubah manusia, dalam ertikata mudah, praktikal dari frasa “beribadatlah kamu seolah-olah kamu melihat Allah, kalau kamu tidak sampai kepada upaya itu, rasakanlah bahawa Allah sedang melihat kamu” mampu diadaptasikan dalam kehidupan. Ayat pendek ini menjelaskan 2 perkara utama dalam kehidupan:
1 . kamu melihat Allah
2 . Allah melihat kamu
Untuk sampai kepada upaya kita mampu melihat Allah, bukannya satu perkara mudah, ia merupakan mujahadah yang terlalu besar untuk dilaksanakan oleh manusia. Namun dengan bertahap, insyaAllah kita mampu sampai kepada point ke 2, Allah melihat kita, dan kemudian mampu merasakan bahawa ke mana sahaja kita halakan wajah ini, kita akan mampu merasakan kita sedang melihat Allah. Dengan tema ikhlas, ibadah kita hanya akan sempurna bila mana Allah redha akan ibadah kita, walau hanya sedikit.
Persoalan Ihsan inilah yang menjadi intipati penting dalam ibadah. Seperti mana ayat Al-Quran menyebutkan Solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Solat yang prihatin, solat yang khusyuk, yang mengimplementasikan maksud ihsan dalam setiap gerak kata dan laku akan menatijahkan lahirnya waris muslim yang terbaik, yang mampu membawa situasi ‘bersolat’ walau ke mana mereka melangkah.
Pernahkah, walau sekali, ketika mahu bersolat, kita merasakan kita sedang melihat Allah? atau
Pernahkah, walau sekali, ketika mahu mengangkat takbir, kita merasakan diri seolah-olah sedang melihat Allah?
Persoalan “Allah dan Penglihatan-Nya” inilah yang menggusarkan ramai manusia silam, terutamanya generasi salafus soleh. Motif peribadatan mereka yang berteraskan keyakinan yang tinggi bahawa mereka sedang melihat Allah itulah yang telah merubah mereka kepada generasi terbaik. Praktik itu menyelubungi setiap tingkah laku dalam kehidupan mereka, cara makan, cara tidur, cara bercakap, cara berhubung, cara berniaga, cara melayan tetamu, cara menghormati orang lain, dan seribu satu cara lagi,....
Dengan didasari kefahaman mereka inilah, terpacul soalan dari Amirul Mukminin ke 2, Saidina Umar al-Khattab r.a kepada Huzaifah r.a. itulah yang bermain di minda beliau, beliau khuatir dengan sedikit sifat nifaq yang terlekat pada dirinya, itu akan dihisab oleh Allah SWT. Walaupun kita tahu bahawa Umar merupakan salah seorang manusia dari sepuluh manusia di muka bumi, yang telah dijanjikan syurga!!!
Nah, apatah lagi diri saya ini, yang kerap bersalut dosa dan noda, yang sentiasa dilumpuri hina maksiat, diselubung segala macam kelemahan. Yang kerap suka bercakap, kurang beramal. Yang terkadang lupa dengan firman, Allah sangat benci terhadap mereka yang bercakap tetapi tidak mengotakan kata-katanya. Bagaimanakah nantinya tika berhadapan dengan Rabb!!!
Ya Allah, jauhilah aku dari sifat-sifat nifaq
Mampukah kita jujur dalam tingkah laku, setelah kita mampu jujur hanya dengan berkata-kata?
Sumber :
1) Fi zhilal al Quran
2) Tafsir Azhar
3) Riyadus salihin
Ikhsaninsan
Jujur kata pada jujur tingkah laku