21 Feb 2011

paku di tembok batu

KESAN PAKU PADA TEMBOK BATU

Insan ialah seorang pemuda yang sangat pemarah.Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun hanya berdepan dengan satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, ibunya telah menghadiahkan insan sebungkus paku

“untuk apakah paku-paku ini ibu?”tanya insan.

“setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu dihadapan rumah kita ini bagi melepaskan kemarahanmu,”jelas ibunya.

Pada hari pertama sahaja, Insan telah memaku sebanyak 29 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya berbanding memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya pada satu hari, Insan langsung tidak marah walaupun sekali. Dia terus memberitahu ibunya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Lalu ibunya mengucapkan tahniah dan menyuruh Insan mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang dilaluinya tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku tersebut. Insan lantas memberitahu perkara tersebut kepada ibunya dengan penuh bangga.

Ibunya lantas memimpin tangan Insan ke tembok tersebut dan berkata, “Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Apabila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ia akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.

“tetapi ingatlah, walau berapa kali pun kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal”.


solusi, isu 28
Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-