22 Sep 2008

Kemenangan mendamba pengorbanan(Misi Memburu Lailatul Qadr)

alkisahnya bermula, Ipin (bukan nama sebenar) merasa terpanggil untuk berjinak-jinak dengan pertanian dan tumbuhan. Dalam kepalanya hanya terfikirkan tentang sejenis pokok yang buahnya boleh menambahkan pendapatan. Disamping idea dari rakan-rakan, Ipin akhirnya nekad untuk mengusahakan tanah 4 ekar miliknya untuk menanam pokok durian.

Ipin teringat akan perbincangannya dengan Tain, rakannya, " Kamu kalau usahakan tanah dikampung sana nu, ada jugak hasilnya, kalau dah malas menanam jagung, dapat juga ditanam sayur dua tiga jenis, betul tak? kalau idak pun boleh juga kamu tanam durian, bila tiba masa berputik dan kemudian berbuah, boleh juga kamu jual, tak pun kamu makan sendiri, kalau dah malas sangat nak jual, nak makan, bagi je pada aku, pandai je aku makan?. Mahu ketawa juga dia mendengar idea Tain ketika itu.

Dan kini sesiapa saja yang melalui tanahnya di kampung sebelah itu, pasti saja terliur.Selama bertahun menunggu, penat lelahnya dulu mula menampakkan hasil. Sekarang sudah berputik, dan tak lama lagi, Ipin bakal merasai buah duriannya sendiri.

Disebabkan tanahnya terletak di kampung sebelah, maka ia jauh dari rumahnya.Fikirnya, perlu ke aku berulang alik sepanjang hari untuk mengambil durian nanti?,mahu tak mahu, Ipin dan isteri serta anak-anaknya terpaksalah membina pondok kecil di dusun tersebut.Dapatlah dia berlama-lama disitu, mahu berbaring atau melelapkan mata, sambil menunggu duriannya gugur.

Biarpun musim durian hanya sekejap, tapi tetap saja Ipin mahukan keadaan yang selesa ketika dia berada di pondoknya itu, dengan bantal, tilam dan tak lupa juga PSP.Ipin merasakan dia mahu menikmati sepenuhnya suasana nyaman di dusunnya itu, di tambah pula dengan perasaan yang berkobar-kobar menanti durian yang bakal gugur, tiada apa yang dapat dibandingkan dengan perasaan dia ketika itu, Penantian yang bertahun bakal berakhir.

Pondoknya dibuat dari papan yang dibeli dari kedai Upin, Upin tak bertanya panjang ketika itu, sangat faham dia dengan Ipin, pembuat rumah dikampung itu.Lantainya pula dibuat dari buluh yang dicarinya beberapa minggu lepas, dibuang miang dan dibelah cantik-cantik, agar permukaan lantainya nanti seimbang.Bumbung pondok ditutup zink, untuk lebih selesa.

Dalam masa dua hari, pondok sementara yang boleh memuatkan 4 orang dewasa itupun siap,terpusing-pusing Ipin meneliti pondoknya, untuk memastikan kestabilan dan kekukuhan pondoknya. Terbit rasa bangganya dengan pekerjaan yang selama ini dia lakukan, tukang rumah.

Hari yang dinanti bakal tiba, kemuncak kesungguhannya selama ini. Begitu teruja dia ketika itu, dapat menyaksikan sendiri durian luruh (gugur). Dan tanpa di jangka, bukkk...!!!Ipin lantas menyarung selipar, belum sempat dia berjalan, bukkk.....!!!! gugur lagi
Ipin tenggelam dalam kegembiraan.

Alkisah itu, andai diterjemahkan dalam diri kita, gi mana ya? ....Boleh andai kita mahu.

emmm, macam ni,...

penantian tetap saja penantian, tapi cuma penantian kita adalah pada Ramadhan,(anggapkan pada tahun ini, kita bakal meraih LAILATUL QADR)andai kita hadkan pada setahun, sudah 11 bulan kita menantikan Ramadhan,

belum masuk 1 Ramadhan, kita dah pasang niat dalam diri, sekurang-kurang aku mahu khatamkan 30 juzu' Al-Quran dalam Ramadhan ini, dan aku mahu bertarawih penuh selama sebulan, biarpun 8 rakaat, itu yang telah kita niatkan.

ya, kita laksanakannya di malam pertama Ramadhan, malam 2, 3, 4 dan seterusnya, kita tersenyum dan gembira kerana Allah telah mempermudahkan kita melalui fasa pertama Ramadhan.Walaupun mungkin kita liat untuk bangun sahur, tetapi dek kerana kita faham bahawa Tahajjud itu merupakan sarana untuk kita meningkatkan amal dan membersih jiwa kita, kita gagahkan diri melepasi malam pertama, malam 2, 3, 4 dan seterusnya dengan bangun malam.Kita merasakan bahawa aku tak kan mahu berpaling ketika itu, oleh kerana terasa kenikmatan ketika menghambakan diri pada Allah.

Fasa kedua Ramadhan, hati kita semakin jelas dengan keimanan kita. Bacaan Al-Quran kita kekalkan,Tahajjud kita masih solid, di samping kita telah perbanyakkan solat sunat, zikir dan tasbih,kita semakin yakin dengan janji Tuhan, orang-orang beriman hati mereka akan dan akan hanya tenteram bila mengingati Allah.

Kita telah fokuskan diri kita hanya pada Ramadhan, dan tanpa kita sedari, Ramadhan hampir berakhir, musim menuai kita sudah sampai ke penghujung. Fasa ketiga Ramadhan Allah janjikan dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan, perumpamaannya sama ketika Ipin @ kita menunggu durian gugur, keadaan yang sama, perasaan yang sama, cuma tujuannya berbeza, Ipin menantikan duniawi, kita menantikan ukhrawi.

Pokoknya, persediaan kita itulah yang terpenting, seperti kita teruja menghabiskan masa dan tenaga untuk membina pondok(jiwa yang mendamba rahmat Allah), lantainya (puasa kita)dindingnya(solat sunat kita), atapnya (tadarrus Al-Quran kita), sebetulnya 'keterujaan'yang sama bahkan lebih 'dahsyat' lagi harus kita pamerkan, harus kita tonjolkan,untuk pondok, dicari sebaik-baik lantai, dinding dan sebagainya, gi mana dengan Ramadhan???

Adakah kita telah berbuat yang selayaknya sebagai seorang hamba?, dengan menyediakan kelengkapan yang bukan untuk orang lain, tapi untuk diri kita.

Biarlah walau gred apa sekalipun durian yang dinantikan, D24, D30 atau Digi sekalipun, 'excited' kita tentunya sama, perasaan ternanti-nanti kita itu sukar digambarkan, betul?Itulah kita, betapa kita ini manusiawi.

Wahai sahabat, tiada terbanding Malam 1000 bulan dengan apa pun didunia ini, samada ia durian, ia bola sepak, ataupun harta berupa emas atau wang!!!! tiada!!!

Malam yang Allah janjikan gandaan amal kebaikan yang luar biasa, bersamaan dengan 83 tahun.Apa mungkin kita dapat membalas pemberian Tuan kita yang begitu bernilai kepada hambanya,iaitu kita, apa mungkin???

Tapi Khaliq itu Maha Hebat, Dia tidak meminta apa-apa sebagai cagaran atas kerelaanNya menghadiahkan kita nikmat. Tapi Dia hanya mahu kita sendiri memposisikan diri ini, di tempat selayaknya, sebagai manusia, sebagai muslim yang mukmin.

sahabat, semua itu seandainya kita berjaya menemui Lailatul Qadr, tetapi andaikata Allah tidak bukakan hijabnya untuk kita bertemu dengan malam itu, betapa malangnya diri kita, berapa bulan lagi harus kita menunggu, berapa tahun lagi harus kita menanti, sampai bila kita tak kan pasti, dan kerana itulah, masanya adalah sekarang, andai kata kita tak bertemu dengannya, tapi sekurang-kurangnya,kita mengharapkan pertemuan, kita mendambakan pertemuan dengan memperbanyakkan amal perbuatan.

Korbankanlah sedetik waktu tidur kita untuk hamparan permaidani Syurga

Bersungguhlah di malam 10 terakhir ini.Moga Ramadhan menjadi pencetus untuk kita terus berpuasa, terus menahan lapar dan dahaga dalam perjuangan ini, terus menahan pandangan dari kemaksiatan dan keburukan,terus bermuhasabah dan bermuzakarah melihat diri, Bahagialah kita andai kita sujud bersama makhluk Tuhan selain kita.

SMizanSaidin
2.08 pm
22 Ramadhan 1429H

Tiada ulasan:

Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lisan (dakwah).
-Sayyid Abul 'Ala al Maududi-