“Kalau kamu mahu berjaya, kawal emosi kamu. Itu sahaja pesan cikgu”, kata Cikgu Noraini, guru Matematik saya di suatu petang.
Saya termenung di bilik.
Keletihan menyemak mata pelajaran Fiqh Jinayat yang amat berat.
Teringat kepada pesan guru yang banyak meninggalkan bekas kepada diri saya itu. Saya sendiri yang memintanya. Pesan sebelum memulakan kembara ilmu, ke bumi Anbiya’.
Saya dulu seorang yang baran, dan baran itulah yang menjadi halangan saya mengecap kecemerlangan.
Namun…
Sampai satu masa, kita akan berubah.
Berubah pada pemikiran, gaya menyampaikan dakwah, manhaj dalam berilmu, malah sikap dan kelakuan.
Perubahan itu adalah proses biasa dalam kehidupan, ada perubahan yang diusahakan atas pilihan, dan ada juga perubahan yang dilakukan kerana terpaksa. Pokoknya manusia berubah dari satu masa ke satu masa. Sesuai dengan pertambahan usia.
Maka, dalam hidup ini, pada setiap peringkat yang kita berada, jangan sekali-kali kita lakukan perkara yang nantinya menyukarkan diri untuk berubah. Apabila kita sedar yang kita perlu berubah, tetapi kita elakkan diri dari berubah kerana hal-hal silam yang telah kita lakukan, maka kita akan mula tidak jujur kepada diri sendiri. Kita tetap berubah, tetapi kepada menjadi seorang penipu dan pengkhianat kepada diri sendiri.
PANAS BARAN DI USIA MUDA
Semasa saya di usia muda di alam persekolahan, saya seorang yang emosional dan panas baran. Ketika di tingkatan 5, saya sebagai Presiden Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) dan juga seorang pengawas sekolah, saya pernah menampar seorang pelajar tingkatan 3. Saya menamparnya bukan kerana dia mendengar lagu rock. Tetapi kerana dia merakam semua lagu rocknya di dalam kaset nasyid!
Tergerak hati saya untuk memasang semua kaset nasyidnya ketika spot check diadakan, dan Subhanallah! Semua kaset nasyidnya hanya nasyid pada kulit tetapi isinya semua lagu Rock.
Saya tampar dia kerana kelakuan nifaq yang dibuat.
Saya panas baran dan ada insan yang terluka kerana sikap saya itu.
Saya panas baran, sehingga apabila saya disindir Pengetua, saya sanggup nekad berhenti sekolah serta merta sebagai protes..
Benar sungguh nasihat Cikgu Noraini.
Dan saya sedar yang panas baran saya tidak ke mana. Panas baran saya padam semasa saya kehilangan ayah. Semenjak itu saya lebih penyabar, walaupun dalam usaha untuk bersabar itu, saya seperti menelan bara api.
BANGGA SEBAB CELUPAR
Ada orang bangga yang dirinya panas baran. Bangga kerana mulutnya celupar. Laser, kata orang sekarang. Seorang dua kawan yang saya kenal memberikan alasan, beliau orang Negeri Sembilan, seorang lagi orang Melaka, seorang lagi orang Kedah.
“Apakan daya, kami memang bangsa yang celupar!”, kata mereka.
Memang ada yang beralasan begitu.
Tetapi mampukah kita memberikan alasan yang sama di depan Tuhan nanti, “ampunkan aku ya Allah. Aku celupar kerana aku orang Negeri Sembilan! Aku melawak brutal kerana aku orang Kedah! Aku suka laser orang sebab mak bapakku semua begitu. Ia mengalir dalam darahku!”
Mahukah Allah melayan alasan-alasan itu?
Sebelum laser jadi bencana di Sana, muhasabah dulu di alam Sini.
Memang ramai yang bangga atas keceluparan mulutnya. Terasa macho. Terasa hebat apabila berjaya memangkah orang.
Celupar adalah sifat yang ada pada kebanyakan kita. Tetapi berbangga diri kerana celupar, ini yang bahaya. Orang seperti ini sedang melakukan sesuatu yang menyukarkan dirinya untuk berubah.
Mahu terus celuparkah, kalau celupar kita itu menghancurkan rumah tangga? Menyakitkan hati isteri dan anak-anak kita? Mahu terus laser mulutkah, kalau laser itu telah membunuh sekian banyak persahabatan kita? Sampai bila kita mahu terus menipu diri sendiri, berlaku ego semata-mata kerana tidak mahu dilihat tidak macho sebab sudah tidak secelupar dulu?
Sampai masa, apabila usia meningkat dewasa, kita tersedar akan kebodohan silam. Jika kita hanya celupar di hari silam, kesedaran boleh mengundang perubahan. Tetapi jika kita pernah berbangga dengan keceluparan, dan melukiskan imej diri sebagai macho kerana laser dan celupar, terimalah balasannya. Ketika hari kita sedar yang kita kena berubah, selepas melihat kehidupan ini binasa, kita tersepit antara menguzurkan keceluparan diri, dengan hilang maruah diri yang selama ini telah memperkenalkan kita sebagai seorang yang hebat kerana celupar.
“Seorang Muslim yang sebenar, adalah seorang yang manusia lain terhindar dari kejahatan lisan dan tangannya” [Hadith riwayat Muslim]
Itu soal mengubah sikap dan kelakuan.
BERUBAH MANHAJ ILMU
Dalam soal ilmu, isunya berbangkit juga.
Ketika saya tiba di Jordan, saya tidak Salaf, tidak juga Khalaf. Hanya insan biasa.. seperti kebiasaan yang ada.
Saya dan rakan-rakan menadah kitab mengaji Syarah Ibn Aqil dan Kutaib Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah setiap hari selepas subuh. Di peringkat itu, saya mengukuhkan kefahaman saya tentang apa yang telah saya pelajari semasa di Malaysia. Mengemaskan hujah-hujah dan cara berfikir sebagai seorang Khalaf tanpa pernah mendefinisikan diri sebagai Khalaf.
Tetapi walaupun ketika itu saya kira saya seorang yang selesa dengan manhaj Khalaf, syukur Alhamdulillah saya tidak mencaci Salaf. Saya tidak bernafsu besar membongkar dan mengumpul hujah bagi menentang lawan, kerana semasa saya mendalami manhaj Khalaf, saya mendalaminya kerana mahu menyembah Allah, bukan kerana mahu menyembelih Ibn Taimiyah.
Walaupun saya amat kasih dan cinta kepada guru yang mendidik saya itu, ia tidak sampai saya mengikat diri kepada peribadinya. Penghormatan dan kasih sayang saya kepada Ustaz Ahmad al-Kaf adalah setinggi-tinggi kasih sayang seorang murid kepada gurunya.
Bersama Ustaz Ahmad al-Kaf di sebelah kiri saya
Sebab itulah, apabila Ustaz Ahmad al-Kaf menegur kemungkaran segelintir pelajar dan mereka mahu membelasah beliau, saya tidak teragak-agak bersama rakan yang lain untuk mempertahankan Ustaz Ahmad al-Kaf, walaupun terpaksa mengangkutnya lari di malam hari.
Tetapi proses pengajian itu berterusan. Selepas satu demi satu subjek di universiti diambil, dan atas keterbukaan diri yang saya syukuri, saya memberanikan diri mengkaji pula aliran Salaf.
Saya percaya, isu ini sensitif. Maka untuk mengkaji dan memahami tentang seseorang atau sesuatu topik, maka jangan mulakan kajian dengan membaca komen penyokong atau komen musuh. Pergi kepada hasil kerjanya sendiri.
Apabila saya mahu memahami tentang Ibn Taimiyah, saya mulakan dengan meneliti kitab-kitab karangan Ibn Taimiyah. Bermula dengan kitab sekecil Ubudiyyah, hinggalah kepada Minhaj al-Sunnah, saya bertemu dengan Aqidah, Ibadah, dan Akhlak yang sejahtera. Memang ada satu dua tempat yang keras dan kasar, tetapi apabila terkenangkan ganasnya jiran-jiran Arab di sekeliling rumah saya, maka saya boleh berusaha memahami dan bertolak ansur pada pendekatan Ibn Taimiyah kepada manusia di zamannya. Pendekatan tidak jadi masalah, tetapi fakta yang dikaji untuk jadi penentu.
Semasa kita kecil, kita mungkin berdendam sehari dua apabila ayah mencubit kita yang bermain hujan. Tetapi semasa kita menjadi ayah, tanpa sedar kita melakukan perkara yang sama semasa anak kita bermain hujan. Ia soal pendekatan… lain zaman, lain caranya, lain umur, lain kaedahnya.
Saya tidak membaca kitab-kitab musuh Muhammad bin Abdul Wahhab atau kitab-kitab pemuja dan pemujinya. Tetapi saya pergi kepada kitab yang dikarang oleh Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri.
Alhamdulillah, saya boleh bertenang.
Apabila saya semakin selesa (saya tidak guna istilah ’saya rasa semakin betul”) dengan manhaj Salaf, saya menoleh ke belakang dan Alhamdulillah jika saya mahu beralih manhaj, saya tidak ada luggage yang terbeban di dalam sirah hidup. Maka saya berubah dengan tenang. Kasih sayang saya kepada guru-guru yang mendidik manhaj Khalaf, tidak terusik walaupun sedikit. Malah saya dapat memahami apa yang mereka fikirkan dan saya berubah tanpa perlu bermuka-muka.
SALAFI VERSI CELUPAR, KHALAFI VERSI ‘LASER’
Malang sekali ada sebahagian kita yang semasa bermanhaj Salaf, dia seorang yang celupar. Habis semua orang dibid’ahkannya. Berapa ramai insan yang dilukakannya. Dan dirinya tidak pernah mahu meneliti betul atau salah sikap begitu, kerana beralasan bahawa semuanya dibuat kerana Allah!
Subhanallah… Maha Suci Allah dari kecelaan akhlak si makhluk.
Tiba-tiba dirinya tersedar bahawa dia telah terlalu banyak melukakan orang. Dan dengan pertimbangan yang sungguh tidak rasional, dia menyalahkan manhaj Salafnya itu sebagai punca dirinya berlaku buruk. Dia berubah menjadi Khalaf tetapi dengan lidah yang terpaksa ditajamkan, menyerang golongan Salaf dengan cara yang tidak berhikmah, demi untuk menjustifikasikan perubahan dirinya. Ramai sungguh x-Salafi yang saya temui sedemikian rupa.
Begitu juga bagi yang Khalaf…
Sebab itulah saya pesan, selagi kita masih hidup, selama itu jugalah kita akan menempuh perubahan. Sama ada berubah ilmu, berubah sikap, berubah gaya, apa sahaja… Itu fitrah namanya. Apakah segala-gala yang saya putuskan hari ini sudah muktamad? Mungkin ya, mungkin tidak. Andai ada lagi perubahan yang mahu dibuat, saya menyediakan diri untuknya, di jalan abdi saya kepada-Nya.
Ketika membaca kisah hidup Imam Syafi’e, Abu al-Hasan al-Ashaari, malah terutamanya riwayat hidup Abu Hamid al-Ghazzali, mereka menempuh pelbagai peringkat perubahan diri dan manhaj… sesuai dengan challenge vs. response.
Maka lapangkanlah jalan di liku-liku usia agar perubahan diri tidak dikhianati.
MENGUBAH SIKAP TERHADAP SESAMA KUMPULAN ISLAM
Mungkin atas sifir yang sama, mereka yang agar senior di dalam PAS, IRC dan ABIM sukar untuk mencari damai. Dalam hal ini juga manusia itu boleh berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Sebab itulah jangan kita terlalu mencederakan lawan. Sampai satu masa, kita mungkin perlu berubah. Mungkin tidak mengubah jemaah, tetapi mengubah sikap terhadap sesama jemaah.
Sudah binasa umat kita dimakan hedonisma dan maksiat yang menggila. Kezaliman makin melampau, dan setiap kita lemah untuk pergi ke medan sendirian. Di peringkat kepimpinan, kesedaran telah ada untuk saling bekerjasama. Tetapi di peringkat yang lain, sukar benar untuk kita berlapang dada.
Mengapa?
Kerana semasa kita di kumpulan A, kita sangat rakus mencederakan kumpulan B dan C. Semasa kita di kumpulan B, kita membina kejayaan dengan memijak dan mengkhianati kumpulan A dan C. Maka kita telah menyulitkan perubahan.
Apabila tiba masa kita bekerjasama, kita sukar berlapang dada. Kerana luggage kita berat dengan perbuatan silam.
Maka bagi generasi amilin Islam yang baru, bersederhanalah…
Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.
ABU SAIF @www.saifulislam.com
68000 Ampang
[versi awal 1 Disember 2007]