Dipamerkan pelbagai jenis model kereta, dari kecil ke besar, pelbagai level kecanggihan yang bertujuan menarik minat pembeli.
Pembeli teruja, sales executive tambah ceria, kering esofagus bakal terbayar.
Berbagai siri, dari yang biasa hingga ke luar biasa dan istimewa, Special Edition.
Apa beza special edition (SE) dengan kereta biasa dari model yang sama.
Satu, tentulah harganya, yang kedua tentunya pemiliknya yang mungkin lebih bernada sporty dan stylo.
Mari kita tengok sedikit di bahagian kereta itu, wow, rim yang lebih besar, 17, menjadikan tayar yang digunakan lebih mahal, bahagian lampu berlining, menjadikan ia nampak lebih berketrampilan, kusyen lebih lembut berleather, bahagian gear dicover dengan casing berwarna garang, dan ia lebih lowed, tabung ekzos agak besar, siap ditinted lagi.
Pendek kata, serba-serbi berbeza dan nampak ekslusif, nampak elegan, bukan elephant.
Pendek kata lagi, pemandu yang inginkan kereta SE, merupakan pemandu yang bercitarasa tinggi, justeru kerana uniknya citarasa mereka.
Dapatlah difahami bahawa, ciri-ciri itulah yang menjadikan sebuah kereta dilabel special, istimewa, lain dari yang lain dan seumpamanya.
Al- Quranul Karim merakam keadaan yang sama dalam membincangkan istilah specialnya syurga ataupun ada apa dengan syurga?.
Mari kita lirikkan mata hitam kita kepada ayat dalam surah at-Thur bermula ayat 17.
Allah berikan syurga itu untuk bertakwa, yang mana pada ayat seterusnya Allah menceritakan apa kenikmatan orang-orang yang bertakwa ini di dalam Syurga, bahasa mudahnya, apakah aktiviti pada masa lapang penghuni-penghuni syurga ini?
Pertama, mereka ini sentiasa bersuka-ria, bergumbira (kata arwah P. Ramlee), atau istilah yang sezaman dengannya, yang mana ia memberi gambaran pada kita umumnya, penghuni syurga ini, mereka duduk lepak-lepak, ada yang tersenyum, ada yang gelak terbahak-bahak, kembang-kempis hidung kerana terlampau gembira.eh…kejap, kenapa mereka ini terlampau suka dan terlampau ria, apa yang mereka perkatakan sampai boleh suka dan ria sampai begitu sekali?
Ayat berikutnya, Allah sebut, mereka suka sebab dapat makan, mereka ria sebab dapat minum, makan apa?, minum apa?...itu akan disebut kemudian. Dan lagi, Allah sebut, sudahlah mereka sedang makan dan minum, lepas itu pula, sambil bersandar di dipan-dipan, apa dipan?, dipan adalah semacam sofa, jangan pula dibayangkan semacam sofa berjenama cavenzi atau lain-lain, kerana itu sofa dalam syurga, jika mahu tahu bagaimana rupanya, tungguuuuu,……..
Mari kita semak sambungan ayat tersebut, kenapalah warga syurga tersebut tidak habis-habis mahu gembira?. Mana tidaknya, sambil lepak-lepak, makan-minum, bersandar di sofa, ada pula bidadari-bidadari yang bermata indah, wow,.. gi mana mahu bayangkan sih?...udah namanya bidadari itu kan cantek, ditambah, (atau didarab) dengan bermata indah, tentunya luar biasa sih canteknya…cantek bangattt,…gamat ya nikmat disyurga.
Mengikut apa yang saya riwayatkan dari koleksi kuliah Al-Fadhil Ustaz Shamsuri, beliau menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan bermata indah itu adalah begini, fokuskan mata anda : bidadari yang mempunyai mata putih yang sungguh putih, dan mempunyai mata hitam yang sungguh hitam dengan bebola mata yang bulat, faham nggak???...mata putih yang terlampau putih dan mata hitam yang terlampau hitam merupakan kombinasi yang bila digabungkan menjadikan bahagian mata seakan-akan menonjol, terpamer sinar mata yang luar biasa bercahaya, sungguh mengagumkan,..anda masih bersama saya?...yang jika dibandingkan dengan mata manusia, ia seakan-seakan jauh panggang dari api, ataupun jauh sate dari bara api, begitulah (dan tak boleh dibandingkan pun, tidak layak)
Yang jika anda perasan mata putih anda (sila rujuk mata anda di cermin), bukannya berwarna putih, tapi berwarna hampir kuning, betulkan? Anda sedang tersenyum? saya juga begitu, nah, tengok pula mata hitam anda, adakah ia sepekat serbuk kopi asli ataupun kopi jantan?, anda sendiri tentukan. Emmm,…maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? Panjang juga kisah mata ini, kita teruskan kembara kita di dalam syurga (melalui ayat suci). Kita letakkan ditepi kisah bidadari bermata bundar tadi.
Moh ke ayat seterusnya, Allah sebut lagi, kita (jika kita dapat masuk syurga, insyaAllah) dapat jumpa anak dan cucu kita (itu bagi mereka yang sudah berkahwin) di dalam syurga, bestnya, tapi bagi mereka yang bujang macam mana?...laa…tak cukup lagi ke bidadari tadi?...bagi yang masih bujang tentulah dapat jumpa ayah, ibu, datuk, nenek dan seumpamanya, letakkan diri kita (yang masih bujang) diposisi anak dan cucu dalam ayat yang Allah sebutkan tadi, selesai masalah.
Kalau mahu juga anak, kahwinlah, tapi ingat satu perkara. Abuya Hamka menyebutkan bahawa tidak semata-mata Allah bagi jumpa anak-cucu begitu saja, perlulah si ayah dan ibu mendidik supaya si anak itu menjadi muslim, mukmin yang terbaik, melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah, dalam masa yang sama, mengajak dan membimbing manusia sekitarnya kepada Allah, dan mencegah dan menghindari manusia disekitarnya melakukan kerosakan, kemaksiatan, kemungkaran, kealpaan, kelalaian dan seumpamanya. Ada faham?. baru dapat jumpa. Dan bila si ayah meninggal dunia, maka yang ditinggalkannya adalah anak yang berjasa kepada diri, masyarakat dan agama dan kemudian barulah Negara, dan bukan si ayah yang meninggalkan anak yang bergaya, menghias rantai di dada, membelah baju di dada, memakai bangle di tangan dan memakai subang di pusat ( bukannya pusat membeli belah di Subang).
Didikan dari si ayah dan ibu itulah yang menjamin mereka di Syurga. Suatu tugas yang sungguh berat untuk sang ayah.
Anda masih bersama saya? Kita teruskan, di awal tadi saya ada menyebutkan penghuni syurga itu mereka dapat makan, dan dapat minum, apa yang mereka makan? Yang mereka makan adalah buah-buahan dari syurga, ataupun buah-buah tempatan syurga, bukan Malaysia, lagi ?...penghuni syurga dapat makan daging...daging apa? Bermacam jenis daginglah, Di dunia ini saja Allah sediakan berbagai jenis binatang yang boleh di makan dagingnya, apalagi di Syurga, maka, nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?...minuman pula dari sungai-sungai yang mengalir di syurga, apa saja yang kau mahu, pintalah, maka Allah akan sediakan,…segala vitamin, zat besi, semuanya terkandung didalamnya.
Dan, Allah sebut juga, walaupun hobi penghuni syurga ini bersuka ria, tetapi apa yang mereka lakukan seperti makan, lepak-lepak, minum, jumpa anak-cucu, bukannya perbuatan dosa, mereka tidak melakukan apa-apa melainkan perbuatan berfaedah, makan mereka berfaedah, duduk di dipan-dipan juga berfaedah, makan daging berfaedah, usha bidadari berfaedah, main mata dengan bidadari pun berfaedah, makan buah berfaedah, bersembang-sembang hal dunia pun berfaedah?...hal dunia?..ehh…yang terakhir itu tidak fahamlah…
Sebelum saya terangkan perkara yang terakhir itu, ada satu lagi nikmat, iaitu di dalam syurga itu juga ada yang dinamakan ghulam-ghulam ataupun anak-anak muda yang remaja, yang handsome, kacak, cute, comel, yang disebutkan bahwa mereka itu, seakan-akan mutiara yang tersimpan, sudahlah mereka seperti mutiara, disimpan kemas pula, mesti luar biasa punya suci, Allah sebutkan bahwa mereka ini duduk mengelilingi penghuni syurga yang sedang bersuka ria itu tadi, oh…maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?
Allah sebut lagi, dalam ayat 25 surah at-Thur,
Oh,..jadi ahli syurga duduk lepak-lepak, makan dan minum, dan sambil berbual-buallah ya?
YA, mereka lepak-lepak sambil berbual-bual, kenapa?,..ada masalah?
Tak ke macam membuang masa?
Memanglah untuk membuang masa, apa lagi mahu dibuat diSyurga!!! bukannya Allah suruh beramal-ibadat di dalam syurga, bukannya Allah minta penghuni syurga pergi kuliah di surau, bukannya itu semua, semua itu dilakukan ketika didunia.
Syurga adalah tempat di mana segala apa kebaikan manusia didunia dibalas, setiap zarah kebaikan di bayar kembali, setiap inci langkah mereka ke kuliah agama, di bayar dengan sejuta batu nautika nikmat , setiap tapak kasut yang haus itu dibalas dengan aliran air syurga yang manis semanis-manisnya.
Syurga adalah tempat berhibur, hidup abadi yang tiada berpenghujung, mahu buat apa lagi kalau tidak membuang masa?,..
Tapi ada satu ciri penghuni syurga nan bertakwa ini yang mesti dicontohi, dirakamkan juga oleh Allah.
Bila sudah namanya orang beriman, tidak lain mereka akan sentiasa beriman walaupun sudah berada di Syurga, warga syurga itu berkata :
“Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada ditengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab), maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka, sesungguhnya kami menyembahNya sejak dahulu. Dialah Yang Maha Melimpahkan Kebaikan, Maha Penyayang”
Subhaallah, lihat betapa tawadhuknya orang beriman, sudah diberi syurga dan segenap kenikmatan, tetap saja memuji Tuhan, tetap saja nilai taqwa mereka mengatasi segala-galanya. Mereka ketika didunia takutkan azab Tuhan, neraka Tuhan, itulah yang membezakan mereka dari penghuni neraka, dan pujian ke atas Allah akan terus bergema di bibir mereka. Itulah hal dunia yang mereka bualkan, bukannya perbualan tentang harta dan ringgit Malaysia, bukannya juga tentang minyak dan gula, tepung dan laksa, tapi tentang amal dan laku, keimanan dan mutu, perjuangan dan pengabdian, kepada yang Esa, Zat yang Maha Tinggi dan Satu.
Begitulah, kisah Syurga Edition, kembara dunia hingga ke Syurga, maka lahirlah produk Syurga yang luar biasa, hidup dikelilingi nikmat yang tak berkesudahan, berpanjangan,, hasil dari pemberian Tuhan yang mereka bersyukur kerana mendapatnya, dan menyatakan Alhamdulillah, dan bila ditimpa musibah tidak mereka katakan bahawa Tuhan itu penipu dan pendusta, bahkan tasbih jualah yang membasahi lidah mereka,..
“maka celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan”
At-Thur : 11
Ya Allah ya Tuhanku, tidak aku harapkan melainkan redha Mu, tidak aku dambakan melainkan keampunan dari Mu, dan tidak aku inginkan melainkan rahmat memperoleh SyurgaMu dan terhindar sejauh-jauhnya dari azab seksa api nerakaMu.
p/s : sofa dalam syurga bagaimana rupanya?...jawapannya….tungguuuu..tunggu masuk syurga,
baru tahu
Sumber : Bahrul Mazi, Al Marbawi
Tafsir Al-Azhar juz 27,Prof Hamka