debu thaif berterbangan,
mendodoi manja tubuh terluka,
gunung di pinggir bergetar,
khadam Tuhan menyeringai
ingin membela,
lamaran tidak terbela,
hanya diiring cemuhan dan balingan,
kau melangkah tenang,
setenang air di kali,
dibening pagi,
diari itu terus dicoret
halaman cinta terus dijaga,
bila Tuhan menghantar jemputan,
kau melangkah diteman khadam,
diarak malam sampai Al-Aqsa
kau imam kepada seluruh Rasul,
mengangkat darjat kaummu di mata Tuhan,
dirai malaikat sepanjang malam,
dinanti penghuni langit seluruh semesta
kau menghadap Tuhan pencipta,
Zat Agung yang mencipta Kalam,
disujud sembah,
ditabir cinta terus bersinar
lantas kau terima lembaran baru,
untuk dipendam dijendela diari,
untuk diamal umat,
sebagai pelindung dan pemerhati
kau turun lagi ke bumi,
walau kau tergoda dengan syurga,
yang indah tiada terbanding,
tapi kau turun lagi ke bumi,
hanya kerana cintamu kepada kami,
kerna cintamu seorang Nabi,
pulangmu hanya untuk,...
satu lagi lembaran yang bakal tersingkap
kau palitkan tubuh sucimu dengan keringat,
yang tiada kering,
kau balut kulit keimanan,
diselimuti kesabaran dan keteguhan
ke atas umat ini,
diari terus dicoret,
dengan satu tujuan bersama seribu haluan,
agar ia tersemat, terjarah ke seluruh alam fana,
atas nama cinta kau lakar ayatnya
aku malu padamu,
apatah lagi untuk menyatakan cinta padamu,
kerana kau insan penebar sejarah manusia,
penerus agenda manusia dibumi,
dikedalaman Rejab,
aku pasakkan keyakinan,
agar sekukuh Abu Bakr,
As-Siddiq yang kau janjikan syurga
kerna hanya merindu sirahmu dan sahabat,
kerna hanya mengikut jejakmu dan sahabat,
dan kerana hanya mencintaimu dan sahabat,
sejarah itu akan diulang,
dan dengan tintamu ia akan ditulis,
PADA DIARI YANG KINI PERLU KEMBALI DISINGKAP...
ikhsaninsan
"mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”