Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira. Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata. Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan. Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur.
Kata Peter F. Drucker, “sesuatu yang tidak boleh diukur, sulit sekali untuk mengurusnya”.
Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak.
Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama.
“Seorang pembaca bertanya, apakah setelah membaca buku AKU TERIMA NIKAHNYA, dan memulakan perkahwinan dengan baik, maka baiklah perkahwinan itu?”, tanya Encik Rushi, pegawai pemasaran Galeri Ilmu tatkala kami berbual selepas sesi tandatangan saya di Pesta Buku Selangor 2008 tempoh hari.
“Agaknya apa komen ustaz?”, tanya beliau kepada saya.
Senyap seketika.
IA HANYA PERMULAAN
“Permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya suatu permulaan”, saya bersuara.
“Setelah rumahtangga dibina di atas dasar agama pun, tiada jaminan jugakah ustaz?”, tanyanya lagi.
Saya ingin menjawab TIDAK. Bahawa dengan memilih calon pasangan hidup yang beragama itu adalah jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Kerana memilih itu sendiri sudah dalam seribu kepayahan.
Tetapi realiti tidak mengizinkannya.
Entah mengapa, semenjak terbitnya buku AKU TERIMA NIKAHNYA, isu-isu berkaitan dengan rumahtangga muncul seperti subjek utama penulisan dan fikiran saya pula. Selain yang selaras dengan isi buku, banyak juga yang kontras menjelma. Perelokkan rumahtangga dengan agama, mesej awal saya. Kini saya dibentangkan dengan bab kedua, iaitu permulaan yang bersandarkan agama, belum cukup untuk menjamin bahagia!
Banyak benar perkara yang berlaku, dan menyaksikan perkara-perkara yang banyak itu, sungguh mendebarkan. Dan lantaran itu coretan ini saya nukilkan dengan mata yang basah tatkala mengenangkan kenalan dan taulan yang rumahtangganya dilambung ombak, biar pun zaman pernikahan dan awal rumahtangga mereka, kami bersama meliku dakwah!
SEPI
Ada kalanya, dalam kesibukan masing-masing kita dengan mudah menyebut, “no news is a good news“. Kalau kemalangan, atau sakit, atau mati, adalah berita yang kedengaran. Tapi kalau tiada sebarang khabar berita, tentu sahaja semuanya seperti biasa. Hakikatnya tidak… bahkan saya jadi paranoid pula apabila ada kenalan yang tiba-tiba senyap. Menyepikan diri. Lama tidak kedengaran sebarang berita, tiba-tiba apa yang sampai ke telinga tidak enak pula.
Masalah rumahtangga…
Sakit membisingkan persekitaran. Kemalangan mencetuskan kegemparan. Kematian pasti mengucar kacirkan keadaan. Tetapi jika ada teman yang berdepan dengan konflik rumahtangga, ia musibah yang mengundang diam. Menghasilkan sepi… dan kehilangan teman seperti ini sungguh misteri.
Berwaspadalah dengan teman yang sepi, menghilangkan diri, di dalam sunyi.
Suatu ketika, saya telah nukilkan kerisauan saya terhadap fenomena konflik rumahtangga di kalangan aktivis agama. Ia menjadi taboo yang sulit untuk diperkatakan secara terbuka. Sulit kerana sukar dunia mahu menerima hakikat bahawa perkahwinan yang dibina jauh dari dosa, bermula dengan segala keelokan di jalan dakwah, boleh goyah dan sebahagiannya runtuh tidak bertangguh.
Di manakah silapnya?
SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH
Silap pertama, adalah pada ketidak imbangan tunduk dan patuhnya aktivis dakwah kepada definisi dirinya sebagai Muslim. Patuhnya kepada Allah ditafsirkan sebagai kepatuhan diri kepada Syariatullah, tetapi tanpa sedar aspek Sunnatullah diabaikan. Jika pasangan yang ber’cintan cintun’ memulakan perkahwinannya dengan memencilkan tuntutan Syariatullah, pasangan aktivis dakwah pula memulakan perkahwinan mereka dengan mengabaikan tuntutan Sunnatullah.
Mungkin kerana dakwah itu memerlukan kepada karisma, mujahadah, keseriusan dan tumpuan, maka cuaca rumahtangga da’ie hanya mementingkan kualiti Syariatullah. Tentu sahaja aspek ini penting kerana setiap dosa mengundang resah. Lebih banyak Syariatullah dilanggar, lebih banyaklah asbab keresahan dalam kehidupan.
Tetapi golongan ini lupa kepada Sunnatullah. Bahawa dirinya yang da’ie, ustaz, ilmuan dan pejuang itu, tetap seorang lelaki. Manakala sang isteri, biar sehebat mana pun dia di dalam penilaian beragama dan berjuang untuk agama, dia masih seorang perempuan dan akan terus menjadi seorang perempuan.
Maka sebuah rumahtangga Bait Muslim itu, tetap merupakan perkahwinan di antara seorang lelaki yang lelaki, serta perempuan yang perempuan. Antara lelaki dan perempuan, cara komunikasi, cara berfikir, cara bersikap…nyata amat berbeza. Maka Sunnatullah jualah yang menjadi ketetapan Allah untuk keelokan hubungan antara lelaki dan perempuan.
Tatkala rumahtangga ramai anak muda hari ini dibina dengan membelakangkan Syariatullah, soal dosa dan pahala, pada masa yang sama ramai jugalah insan yang sedar Islam, membina komuniti dengan membelakangkan Sunnatullah. Dua-duanya silap dan cacat di sisi Dia. Dua-duanya bisa dilambung gelombang ribut bencana dalam sebuah rumahtangga. Ketundukannya tidak menghasilkan kesejahteraan seperti yang didefinasikan oleh Islam, lantaran ketundukannya itu hanya pada separuh Islam.
Jika perkahwinan cara yang biasa-biasa itu datang dengan CINTA TANPA TANGGUNGJAWAB, kisah rumahtangga Islamik ini pula berdepan dengan TANGGUNGJAWAB TANPA CINTA!
BUKAN JAMINAN
Namun apa yang mahu saya kongsikan di sini ialah soal salah faham kita dalam melihat maksud sabda Nabi SAW, “pilihlah wanita yang memiliki agama, nescaya kamu beruntung” [Sahih al-Bukhari dan Muslim]
Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumahtangga kita sudah beroleh plan ‘takaful’ perlindungan dari musibah, pergaduhan dan penceraian? Tidak perlu diselak lembaran nas, kerana jawapannya ada pada rumahtangga kita dan rakan di sekeliling kita. Sesungguhnya permulaan yang baik, hanyalah suatu permulaan yang baik. Ia tidak mampu mengawal agar seluruh perjalanan rumahtangga itu kekal baik, melainkan usaha menjaga, memantau, dan membangunkan rumahtangga yang baik… kekal berterusan.
Inilah yang sering gagal diberikan perhatian
“Saya telah menghadiahkan anak saya sebaik-baik hadiah buat mereka, iaitu dengan saya mengahwini seorang perempuan sebaik ‘dia’”, seorang pemuda bermadah pujangga.
Baik semasa berkahwin, bukan jaminan untuk terus baik di sepanjang perkahwinan.
KEADAAN HATI
Bagaimana mungkin kita boleh terlepas pandang, bahawa sang suami mahu pun isteri, ditentukan buruk baiknya oleh kuasa HATI. Dan tidakkah hati itu berbolak balik, berbelah bagi sifatnya? Maka fitrah manusia itu sendiri, sentiasa terdedah kepada berubahnya diri apabila berubah hati.
Ya Muqallib al-Quloob, tsabbit qalbi ‘ala tho’atik, wahai Tuhan yang Membolak balikkan hati ini, tetapkanlah hati ini di dalam ketaatan kepada-Mu.
Oleh kerana HATI itu juga berkait dengan intepretasi emosi, maka ia menambahkan lagi kebarangkalian tibanya badai dan taufan. Keadaan ini memerlukan seorang suami dan seorang isteri untuk saling bermuhasabah, membuat peniaian diri dari semasa ke semasa. Kebaikan yang dibebankan untuk menjadi jaminan kebahagian sebuah rumahtangga, kebaikan itu boleh pudar ditelan masa dan rasa.
Ditelan kehidupan yang sibuk…
Ditelan rasa jemu…
Rumahtangga dipertahankan, tetapi tanpa keghairahan dan kehangatan perasaan…
BERMUHASABAH
Mudah cerita, anggap sahaja semua orang kita ini fitrahnya tidak boleh membuka mulut bercakap tentang rumahtangga apabila berdepan dengan pasangan masing-masing. Kita bangsa yang bukan adatnya biasa menyebut I love you! Kita bangsa yang bijak memendam rasa. Segalanya dipendam dan diperam hingga menjadi dendam.
Susah benar untuk berkomunikasi, meluahkan isi hati dan kepala, membincangkan masalah dan meneroka penyelesaian. Itulah kita.
Tetapi jika kita sama-sama sedar bahawa pasangan masing-masing susah untuk berbincang, maka jadikanlah perbincangan itu sebagai suatu peningkatan yang mahu dicapai sejajar dengan rumahtangga yang menuju usia matang. Berjuanglah memperbaiki diri agar akhirnya terhasil upaya berbincang, kerana itulah SATU-SATUnya pelampung keselamatan di bahtera taufan kehidupan berumahtangga.
Usahakan perbincangan. Jadikan ia suatu cita-cita. Cairkan kebekuan dan kebisuan suami, didiklah isteri agar amuk dan rajuknya boleh diheret ke sebuah perbincangan.
MARAH VS BENCI
“Soalnya bagaimana, ustaz?”, tanya seorang teman.
“Pisahkan antara MARAH dan BENCI”, itu yang terdaya saya katakan.
Ya, jangan disembunyikan kemarahan. Suami berhak untuk marah kepada isteri. Isteri juga jangan simpan dan pendam marahnya terhadap suami. Meluahkan kemarahan dengan sebuah pertengkaran adalah jauh lebih sihat dari memendam lagi berdendam. Tetapi dalam pertengkaran itu, janganlah luahan kemarahan bertukar menjadi kebencian. Janganlah dibenci isteri yang sedang mengamuk, atau suami yang sedang membatu.
“Bagaimana mahu dibezakan di antara MARAH dan BENCI?”, soal sahabat saya ini lagi.
Syukur juga sesekali mendapat regu berbual tentang hal-hal sebegini.
“Marah itu adalah luahan rasa tidak puas hati dengan mengharapkan perubahan. Manakala benci pula adalah luahan rasa tidak puas hati tanpa mengharapkan perubahan. Putus asa dengan pasangan!”, saya menyambung bicara.
Sungguh tipis beza di antara MARAH dan BENCI. Namun untuk dibezakan antara keduanya, kembalilah kita kepada menyoal diri. Apakah yang dituntut semasa pertengkaran berlaku? Apakah luahan rasa tidak puas hati yang tidak tentu hala atau suatu proses yang meletakkan perubahan sebagai hasil yang diharapkan.
TANDA PUTUS ASA
Hilang harapan yang menjadikan pertengkaran itu suatu kebencian dan bukan lagi kemarahan, ada tanda-tandanya.
“Emm, tak apalah. Dah awak cakap macam tu, saya terima sahajalah!”, kata si isteri semasa membalas cakap suami.
“Kalau tak kerana anak-anak, tak tahulah apa yang saya akan buat. Sebab kesiankan mereka sahajalah saya bertahan seperti ini”, balas si suami.
Kedua-dua ayat ini adalah ayat putus asa. Ayat yang sudah tidak terkandung di dalamnya sebarang harapan. Persamaan di antara kedua-dua ayat ini ialah suami dan isteri memberhentikan proses berbincang sebelum sampai kepada penyelesaian. Membiarkan krisis antara mereka terbantut dan menjadi sampah yang disapu ke bawah karpet!
Sesungguhnya tatkala seorang suami dan isteri tiba kepada perbalahan yang kritikal seperti ini, ingatlah suatu perkara…tanyalah dengan jujur dan ikhlas ke dalam diri masing-masing APAKAH TIADA LAGI CINTA? Kenangkan kembali saat-saat cincin disarung ke jari, tatkala bibir suami mengucup dahi isteri… apakah semua itu sudah tiada makna? Saat melafazkan “AKU TERIMA NIKAHNYA”, rasakan kembali perasaan hati tatkala menyebut nama wanita yang melengkapkan ayat itu…
Moga pertengkaran hanya sebuah kemarahan, dan bukan kebencian.
BERASA CUKUP
Tatkala seorang suami berasa bahawa dirinya sudah melakukan yang terbaik, jangan sekali-kali usahanya dihentikan setakat ini. Usaha itu harus berterusan, bukan sahaja untuk melangsaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu sendiri, malah untuk berdepan dengan dugaan kufr al-’asheer, yang diisyaratkan oleh Nabi SAW di dalam Sahih al-Bukhari, hadith ke-29:
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Tatkala kamu melakukan yang terbaik kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Biar sebaik mana pun usaha suami, ada pula kecenderungan isteri untuk menafikannya. Ia disebut sebagai kufr al-’asheer!
Bukanlah soal jantina mana yang ramai di Neraka itu yang harus dipersoalkan. Tetapi apa yang lebih digusarkan adalah sebab yang menghantar kita ke Neraka itu sendiri. Baginda SAW mengungkapkannya sebagai ulasan terhadap kecenderungan ramai wanita yang mengkufuri suaminya.
Mengkufuri suami?
Ya, iaitulah penafian yang dibuat oleh seorang isteri terhadap usaha sang suami.Usaha yang diistilahkan sebagai Ihsan… iaitu usaha terbaik seorang suami. Pelbagai usaha, dilakukan oleh seorang suami untuk memperbaiki kelemahan dirinya sebagai suami dan ayah. Tetapi dek kerana satu perkara yang tidak kena, Rasulullah SAW menyebut bahawa mudah sangat untuk seorang perempuan berkata kepada suaminya, “aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Teladannya, wahai suami, sentiasalah berlaku Ihsan, memberikan yang terbaik, dan terus bertanding dengan diri sendiri untuk mengatasi terbaik yang telah dilakukan sebelum ini. Namun bersabarlah andai isteri terlupa menghargainya. Jangan dibiarkan isteri berada dalam keburukan dengan membiarkan dirinya tenggelam dalam prasangka itu, kerana ia menjadi asbab seorang isteri terhumban ke neraka. Sebaliknya tenangkanlah dia, pegang tangannya, dan ajaklah dia kepada sifat syukur. Bagaimana mungkin seorang suami boleh bersabar dengan isteri yang melupakan kebaikannya?
Sifirnya mudah, buatnya payah… renungilah firman Allah:
“Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur” (Saba 34: 13)
Benar sekali, setelah begitu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepada manusia, sedikit sahaja yang mahu berterima kasih kepada-Nya. Maka bagaimana pula kita, hamba Allah yang kerdil ini, boleh tidak lena malam hanya kerana jasanya tidak dikenang seseorang. Ingatkanlah kembali diri dan isteri, bahawa kita ini hamba-Nya.
KELEBIHAN SEBUAH PERMULAAN
“Habis, kalau kahwin dengan orang beragama pun banyak ragamnya, apa faedah berkahwin kerana nilai agama?”, perbualan kami menjadi semakin rancak.
Soalan ini penting. Jika tidak dijawab dengan baik, akan hilang kesediaan orang untuk bersusah payah memilih pasangan hidup atas faktor agama.
Namun bagi saya, sebuah rumahtangga yang bermula dengan baik, tetap ada kelebihannya. Tatkala segala badai dan pancaroba melanda, andai rumahtangga yang dahulunya dibina atas semangat dakwah, kini tersasar akibat kecuaian dan tekanan persekitaran dan masa, rumah tangga ini mudah mencari jalan pulang. Setelah mereka pernah sama-sama bahagia di awal jalan yang bersih dan indah dalam kehidupan beragama, pasti sejauh mana sekali pun rumahtangga itu tersasar, ia tetap jelas mencari JALAN PULANG.
Malah, ia menjadi sinar harapan. Bahawa suami dan isteri pernah soleh dan pernah solehah. Potensi itu ada, rujukannya masih segar di minda dan jiwa. Mudah-mudahan luput keraguan dari suami terhadap isteri, dari isteri terhadap suami… bahawa kedua-duanya berpotensi untuk KEMBALI. Pulang ke asal yang baik itu.
Permulaan yang baik itulah juga rujukan Syariatullah dan Sunnatullah. Sebagaimana rumahtangga di hari-hari pertama terhias dengan segala nikmat solat berjemaah bersama, mengaji al-Quran bersama, makan bersama dan pergi ke majlis ilmu bersama, kembalikanlah rumahtangga yang goyah itu kepada apa yang kita sendiri pernah rasai.
Begitu juga kerana nilai kasih sayang, seorang suami dan seorang isteri bisa membuka auratnya untuk ditatap pasangan yang baru dihalalkan, hidupkanlah kembali nilai kasih sayang yang sama untuk masing-masing membuka kelemahan dan keaiban diri, mengiktiraf kekurangan di depan pasangan yang sudah lama dinikahi…
Demi sebuah keredhaan Allah.
RUMAHTANGGA MEDAN BERJUANG
Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA.
Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…
sumber : http://www.saifulislam.com/
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil