Susah untuk mencapai khusyuk dalam apa yang sering aku lakukan, apatah lagi dalam solat yang merupakan nadi dan perancang kehidupan yang paling utama. Jiwa akan jadi resah dan gementar kerana kekalutan terhadap kehidupan yang sering diselaputi perkara mungkar dan maksiat.
Firman Allah Taala :
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar.
Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (29 : 45 )
Sering terngiang di minda, tafsiran ayat ini yang secara jelas menunjukkan kepada manusia
akibat dari kelalaian dan kecuaian terhadap solat, manusia akan terdedah dengan tipu helah dunia, segala maksiat yang berwajah keji dan hina. Apa saja kemaksiatan bukannya berpunca dari pelbagai ancaman dan cabaran luaran. Tetapi muncul kesan dari lemahnya penghayatan terhadap kandungan solat. Kefardhuan solat datang bersama disiplin bagi manusia untuk diikuti, untuk dicontohi. Didatangkan pula bersama murabbi agung penghulu segala Rasul dan Nabi sebagai teladan memandu insan.
Tiada yang lebih penting dari keutamaan menunaikan solat, bersujud dan bertasbih menghadap Tuhan Pencipta dunia. Keutamaan solat dilakarkan dalam klimaks perjalanan Rasul SAW dalam mencipta modal insan yang kamil. Malahan kita telah maklumi bagaimana diwahyukan solat kepada Nabi SAW oleh Yang Maha Khaliq, secara terus berdepan Allah SWT.
Betapa Rasul SAW mengalami perit dan jerih dalam mentafsirkan kehidupan bertemakan Solat. Dalam perlakuan dan perbuatan, dalam diam dan berkata-katanya. Kesemuanya bersumberkan disiplin solat.
Ingatkah kita pada perjalanan mulia Rasul SAW, Israk Mikraj. Suatu keadaan Nabi melihat
sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
Ya. Itulah yang disaksikan oleh Rasul SAW, disampaikan pada kita untuk dijadikan pengajaran. Dan berbagai lagi keadaan manusia yang berkesudahan baik dan buruk. Berpadanan dengan tugas Rasul SAW sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan untuk manusia.
Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. –Al A’raf ( 7 : 205)
Dan tika dunia di penghujung usia, Aku masih jauh dari nikmat solat, kapan akan dirasai keimanan yang dirasai Rasul dan para sahabat. Kapan mahu dihalusi kenangan indah dalam solat.
Dan suatu ketika seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Tentunya keresahan wujud kerana kemaksiatan yang sering dilakukan. Lalu ia terus mencacatkan kekhusyukan dalam solat. Aku mohon agar dijauhkan dari kemungkaran diri dan manusia, kedengkian nafsu dan amarah diri, sifat mazmumah yang sering merosak peribadi.
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, ampunilah segala dosaku, laksana buih di laut memutih, hanyut ditelan gelombang nafsu.
Moga Allah dekatkan hati pada ketakwaan di dunia
Moga Allah dekatkan kita bersama Penghulu umat
Untuk berkarya tidak kira puncanya, sama ada yang di lihat, yang di dengar, mahupun yang dirasa, semuanya kena asal berguna, malahan untuk berkarya, tidak kira tempat dan ketika, tidak perlu saat gembira atau berduka hiba,
SmizanSaidin
Khusyukkah Aku
Alfatah_mujahid06@yahoo.com.my